Alias Kadir, pelawak dan penghibur Singapura yang malar segar dan ikonik, sudah seminggu dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH). Beliau kini masih berada di NUH kerana bahagian jari kakinya luka, bernanah dan berair akibat penyakit kencing manis. Alias juga mungkin memerlukan bantuan kewangan bagi rawatannya.
BERITAMediacorp diberitahu, atas nasihat doktor yang merawatnya, dua jari di kaki kirinya perlu dan sudahpun dipotong kerana jangkitan yang teruk.
Semasa pihak kami melawatnya pada Sabtu (15 April), Alias Kadir dilihat masih lagi kelihatan ceria dan tersenyum ketika menyambut kedatangan wartawan BERITAMediacorp dan beliau sempat berjenaka ketika diajukan beberapa soalan tentang kesihatannya.
Apa yang hakikatnya sedang berbuku dalam hatinya lantaran penyakitnya itu, hanya beliau seorang yang tahu. Namun itulah jiwa seorang penghibur sejati. Sentiasa menghiburkan orang lain. Maka tidak hairanlah, beliau cukup menarik perhatian sehingga kanak-kanak kecil berusia semuda lima tahun pun kenal soap dia Alias Kadir.
MENYAYAT HATI: ALIAS KADIR DALAM KEADAAN ‘BUTA’ TETAP HIBURKAN PEMINAT
Bagaimanapun semasa diwawancara tentang keadaan kesihatannya, Alias Kadir menceritakan perkara ini dengan nada serius.
Menurut pelawak yang bakal berusia 54 tahun pada Jun nanti, ketika membuat pementasan komedi Geng Pecah Perut Kembali pada bulan lalu, beliau tidak nampak atau dapat melihat dengan jelas. Hanya samar-samar, umpama “buta” katanya, ketika beraksi di pentas!
“Mungkin kerana penyakit kencing manis ini, penglihatan saya semakin teruk walaupun telah menjalani pembedahan katarak lebih empat bulan yang lalu. Saya rasakan seperti orang buta beraksi di atas pentas pada bulan lalu. Hanya cahaya samar-samar sahaja yang saya dapat lihat, dan perlu dipimpin lagi untuk berjalan.
“Namun, Alhamdulliah saya masih lagi boleh beraksi dan membuat para penonton gembira dengan persembahan kami semua. Kerja mesti jalan terus, itu amanah yang telah diberikan untuk saya.”
Demikian luahan kata-kata seorang yang layak dijunjung sebagai penuh professional dan berdedikasi. Jika ini terjadi ke atas kebanyakan orang lain, mereka mungkin akan membatalkan sahaja peranan mereka dalam pementasan tersebut. Bagaimanapun, terbukti tidak begitu bagi Alias Kadir, yang nama sebenarnya ialah Mohd Osman Ahmad.
ALIAS: REDA, “BERUNTUNG KERANA MASIH LAGI BERNYAWA”
“Merasakan kesihatan makin terjejas dan teruk, dan saya pun segera mendapatkan rawatan. Atas nasihat Dr Aziz yang merawat saya di NUH, dua jari di kaki kiri perlu dipotong untuk mengelakkan jangkitan yang lebih parah lagi.
“Sebelum ini, jari di kaki kiri memang bengkak, bernanah dan berair. Walau apapun saya reda dengan ketentuan ini, dan merasakan diri saya masih lagi beruntung kerana masih lagi bernyawa. Dan setidaknya pun, kaki saya tidak kudung. Hanya dua jari sahaja yang hilang,” kongsi Alias kepada BERITAMediacorp penuh semangat. Sememangnya, semangatnya itu patut dijadikan teladan.
Menurut bapa kepada lapan orang anak dan 10 cucu ini lagi, segala kos rawatannya di hospital belum diketahui jumlahnya, kerana satu lagi pembedahan Angioplasty bakal dilakukan ke atas kakinya pada 19 April nanti, di hospital yang sama. Ini bertujuan memudahkan dan mempercepatkan pemulihan dua jari kaki kirinya yang dipotong itu.
ALIAS KADIR PERLUKAN BANTUAN
“Saya jangkakan segala rawatan dan pembedahan mungkin memakan ribuan dolar. Saya tidak mempunyai kecukupan wang, baik di CPF atau Medisave juga. Saya mengharapkan bantuan ihsan dari Pekerja Sosial Perubatan di NUH untuk membantu dan melunaskan segala kos dan bayaran yang perlu dilangsaikan.
“Saya berharap pihak hospital dan pekerja sosial di NUH dapat membantu saya untuk meringankan beban, dan semua pembayaran rawatan saya di hospital ini dapat diselesaikan dengan baik. Maklumlah saya berkarya mengikut projek dan pendapatan tidak menentu. Saya amat berharap moga selepas berehat seketika nanti, ada lagi tawaran untuk saya berkarya.
“Saya ingin ‘all out’ (sepenuh hati) menghiburkan para peminat dan penonton yang banyak menyokong kerjaya seni saya selama ini. Ini juga mata pencarian utama saya. Jadi jangan risau, saya masih boleh bekerja, berkarya dan akan terus menghiburkan dan menghangatkan areana seni di Singapura, Insya Allah,” jelasnya dengan penuh kesungguhan dari katil hospital.
Alias Kadir juga amat bersyukur kerana selain anggota keluarga, ramai lagi rakan-rakan artis dan para peminat datang melawatnya di wad 54, NUH. Beliau dijangka akan terus mendapat rawatan lanjutan di hospital sehingga akhir minggu hadapan.
FALSAFAH DAN ‘SEDEKAH’ ALIAS KADIR UNTUK ORANG RAMAI
Apabila ditanya kenapa beliau masih lagi nampak gembira dan terus tersenyum, walaupun semasa dirawat di hospital? Alias dengan yakin menjawab bahawasanya dirinya mesti tetap terus bersyukur kerana, banyak lagi orang lain yang menderita dan mempunyai penyakit yang lebih kronik daripada diri beliau.
“Saya tetap bersyukur kerana diri saya masih tidak seteruk orang lain. Ada yang lebih kronik dari saya. Walaupun saya mempunyai masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan sakit buah pinggang yang ‘mild’ (ringan) saya mesti tetap bersyukur pada Allah. Saya juga bersyukur kerana walaupun berkeadaan tidak begitu sihat, tapi saya masih berupaya untuk menggembirakan orang lain, dan membuat mereka tersenyum melihat lakonan dan jenaka saya.
“Saya percaya, tiga amalan yang tidak terputus pahalanya, iaitu bersedekah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh. Bersedekah bukan hanya wang ringgit dan harta benda. Tetapi memberikan senyuman dan membuat orang lain tersenyum dan juga gembira, juga satu sedekah, dan pasti mendapat ganjaran dariNya juga,” cerita Alias kepada BERITAMediacorp dengan penuh berfalsafah dan terasa keikhlasannya.
Beliau juga berharap para peminat dapat terus mendoakan kesihatannya untuk beliau kembali mewarnai dunia komedi tanah air Singapura ini.
Pelawak Alias Kadir, yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Komedi Terbaik Pesta Perdana pada tahun, 2000, 2001 dan 2002, mungkin sedang sakit di hospital. Yang pasti, keinginannya untuk menggeletek anda hari ini dan hari esok, tidak pernah terusik.
Rilek1Corner
Source: http://berita.mediacorp.sg