Raja Bomoh Taubat Nasuha, Mengaku Segala Upacara Adalah ‘Lakonan’ Atas Arahan Orang Lain

‘Raja Bomoh’ Malaysia atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin mengaku segala upacara pelik yang dilakukannya adalah ‘lakonan’ sahaja dan mengisytiharkan, dia kini sudah ‘taubat nasuha’.

Dia malah mendedahkan bahawa tindakannya melakukan upacara pelik, termasuk aksi ‘melihat menggunakan teropong buluh’ dan ‘angkat kelapa’ adalah ‘lakonan’ yang diarahkan oleh individu tertentu yang tidak dapat didedahkannya, menurut laporan Malaysiakini.

Bercakap pada sidang akhbar di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari ini (25 Apr), Ibrahim, 66 tahun, mengakui bahawa tindakannya yang kononnya untuk membantu menyelesaikan beberapa kejadian dan isu besar di negara ini, sebenarnya hanyalah bagi memeriahkan suasana.

JANGAN LAGI PANGGIL ‘RAJA BOMOH’

Menurut laporan Malaysiakini, beliau berkata: “Kini saya tidak lagi mahu dikenali dengan panggilan Raja Bomoh dan menyesali segala perbuatan saya sebelum ini.

“Saya memohon ampun dan maaf kepada semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia,” katanya, yang dipetik oleh portal Utusan Online.

Pengakuan taubatnya itu disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Al Bakri; Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad.

Sementara itu, portal itu turut memetik Abdul Aziz sebagai berkata, Ibrahim mengaku bersalah atas segala tuduhan yang dibacakan kepadanya di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 bagi kesalahan menghina Islam.

DIPERINTAH BERKELAKUAN BAIK

“Disebabkan faktor kesihatan dan umur, Ibrahim diperintah untuk berkelakuan baik selama enam bulan dan menjalani kelas akidah serta fardu ain.

“Diharapkan hukuman yang diterima dapat memberi pengajaran kepada beliau menyesali dan bertaubat atas semua perbuatannya,” katanya, seperti ditukil laporan Malaysiakini.

Ibrahim mencetuskan kontroversi apabila dirinya sering melakukan upacara pelik.

Terakhir, pada 13 Mac lalu, dia melakukan upacara di hadapan Institut Perubatan Forensik Nasional, Hospital Kuala Lumpur bagi ‘memagar’ Malaysia dari diserang negara asing khususnya Korea Utara.

Antara upacara peliknya yang lain termasuk mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang dan ‘merestui’ tempat kejadian kemalangan yang membabitkan bekas pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh.

Sebelum ini, Ibrahim ditahan oleh JAWI di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu.

 

Rilek1Corner

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *