KUALA LUMPUR: Komen-komen negatif pendakwah yang penuh kontroversi, Dr Zakir Naik, terhadap agama lain boleh mencetuskan bahaya ke atas negara berbilang kaum dan sekular seperti Malaysia.
Demikian menurut kumpulan bekas penjawat awam Melayu di Malaysia, dipanggil Kumpulan 25 Melayu Terkemuka (G25).
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan minggu ini, G25 menambah pihaknya bimbang tentang sikap tolak ansur pihak berkuasa Malaysia terhadap sikap Dr Zakir Naik serta mempersoalkan status penduduk tetap yang diberikan kepadanya. Berikut ini kenyataan G25:
G25 bimbang dengan sikap tolak ansur pihak berkuasa Malaysia terhadap komen-komen ekstrim yang dibuat oleh Dr Zakir Naik menerusi dakwahnya.
Kami percaya dengan hak kebebasan bersuara namun apabila ia dibenarkan bagi orang-orang tertentu sementara pihak yang berlainan pendapat pula tidak diberikan kebebasan bersuara, itu bukanlah bentuk kebebasan bersuara untuk masyarakat kita yang berbilang budaya.
Meskipun kami menghormati hak demokratik Dr Zakir Naik untuk menyuarakan pandangan beliau tentang Islam dan membandingkannya dengan agama lain dengan menukil beberapa kitab agama untuk memberikan gambaran pendapat beliau, Dr Zakir Naik seringkali mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat Muslim dan bukan Muslim disebabkan kebiasaannya memperolok-olokkan doktrin dan amalan agama lain.
Beliau juga dikait rapat dengan pandangan ekstrim dan sikap tidak bertolak ansur terhadap hak kebebasan beragama. Oleh sebab itu beliau dilarang berdakwah di Britain, Kanada, Singapura, India dan Pakistan.
Dr Zakir Naik gemar berbahas namun hanya dengan orang-orang beliau dan yayasan privetnya luluskan.
Terdapat juga dakwaan yang menyatakan beliau tidak akan berbahas dengan para cendekiawan dari agama lain. Beliau mengelak perdebatan serius dengan para cendekiawan yang termuka di peringkat antarabangsa dengan meletakkan syaratnya sendiri.
Dengan meletakkan syarat berbahas hanya dalam sekitaran yang menjadi pilihan beliau, Dr Zakir Naik jelas menunjukkan sikap pendakwah yang mahu diberikan sorakan gemuruh oleh hadirin supaya dapat menutup mulut lawannya.
Kami juga bimbang komen-komen negatif Dr Zakir Naik terhadap agama lain akan membuat para ulama kita di Malaysia semakin berani mencontohi sikap tidak bertolak ansur beliau.
Respons yang kami pantau dari kumpulan-kumpulan perbicangan menunjukkan golongan bukan Muslim berasa cemas dengan trend baru di mana para cendekiawan agama seolah-olah kebal dan boleh menyuarakan pendapat sesuka hati tanpa menimbangkan perasaan mereka yang dari agama lain.
Sikap Dr Zakir Naik terhadap agama tiada tempat dalam dunia sekarang dan boleh mencetuskan bahaya sosial yang serius di negara yang berbilang kaum dan sekular seperti Malaysia.
Ia juga membimbangkan apabila kami mendapat tahu Dr Zakir Naik dapat memperolehi status sebagai Penduduk Tetap dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri tanpa diketahui oleh orang ramai sama ada beliau sudah memenuhi kriteria dan kelayakan ketat seperti yang dikenakan ke atas pemohon lain.
Tentunya ratusan ribu kanak-kanak di Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan perlu mengetahuinya.
Selain itu, jika pengecualian diberikan ke atas Dr Zakir Naik, maka penjelasannya perlu didedahkan.
Akhirnya, pihak berkuasa Malaysia tidak sepatutnya dilihat sebagai memperjuangkan hak seseorang individu yang mempunyai reputasi sedemikian dan kami menggesa mereka supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Sekiranya Malaysia digesa untuk bekerjasama dalam menangani pelampau agama yang berbahaya, kami menggalak supaya kerajaan melakukannya.
Source: http://berita.mediacorp.sg