Qariah S’pura, A’tii Qah Suhaimi, Duduki Tempat Ke-3 Di Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa

Seorang Qariah Singapura berjaya meraih tempat ketiga dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59 di Kuala Lumpur, malam Sabtu (20 Mei).

Ahli seni khat, A’tii Qah Suhaimi mengumpul markah amat dekat dengan pemenang tempat kedua, dari Brunei.

Johan Qariah ialah peserta Malaysia.

Ini kali kedua A’tii Qah menyertai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM.

Kali terakhir pada tahun 2009, apabila beliau yang waktu itu pelajar tahun akhir pra-universiti di Madrasah Aljunied al-Islamiah, dan mendapat tempat kelima.

A’tii Qah yang kini penolong mudirah di sebuah sekolah pendidikan khat, perlu mengatasi masalah Sinusitis yang sering menimbulkan masalah di ruang berhawa dingin.

Hasilnya, beliau bejaya mendapat 86.01% mata, berbanding pemenang tempat kedua yang mendapat 86.63% mata.

“Waktu pertandingan itu sendiri, saya memang dan sediakan, bawa air di tepi, takut kalau tersedak kah, sebab Sinusitis turut menjejas tekak juga. Lepas itu saya sediakan tisu juga, tapi bila sudah di atas pentas, semua tak ada masalah, jadi lebih fokus pada bacaan sahaja,” ujar beliau.

Dengan kemenangan ini, A’tii Qah membawa pulang wang tunai RM20,000 (S$6,400) beserta beberapa buah tangan.

Beliau menambah: “Rancangan saya pada masa depan, insya-Allah akan fokus pada dua perkara. Yang pertama saya akan dengar semula rakaman bacaan saya dan mengenal pasti apa kelemahan-kelemahan saya, insya-Allah akan cuba memperbaiki kekurangan tersebut. Dan akan mendalami lagi ilmu tarannum Al-Quran dan ilmu Al-Quran itu sendiri.

“Dan fokus kedua pula adalah untuk masyarakat Islam kita, insya-Allah saya ada rancang untuk sebarkan ilmu ini dari segi mengajar dan membimbing orang perlahan-lahan, sebab saya tahu ramai yang masyarakat Islam kita ini sebenarnya berbakat dan mempunyai bakat yang luar biasa, jadi kita kena mendekati orang-orang seperti ini untuk menjadi pelapis masa akan datang insyaAllah.”

Majlis Tilawah ke-59 itu dimenangi Qari dari Iran, dan qariah dari Malaysia, yang masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000 (S$22,450), wang tunai RM40,000 (S$12,830) dan piala iringan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *