Masjid Hang Jebat Jadi ‘Dapur Pusat’ Bubur Ramadan Bagi 5 Masjid

Jika anda menjenguk ke belakang perkarangan Masjid Hang Jebat, sudah menjadi satu kelaziman untuk melihat beberapa ekor ayam berkeliaran bebas, persis seperti suasana di kampung.

Di sebalik suasana santai yang menggamit kenangan manis ini, Masjid Hang Jebat juga memainkan peranan amat istimewa pada bulan Ramadan.

Sejak Ramadan lalu, masjid di kawasan Buona Vista ini menjadi dapur pusat yang membekalkan bubur kepada lima masjid di serata negeri.

Dengan pembangunan pesat beberapa bangunan di sekitar masjid ini seperti kampus baru Mediacorp, Masjid Hang Jebat menjangkakan suasana lebih meriah termasuk pengagihan lebih banyak bubur Ramadan tahun ini.

JUMLAH BUBUR, JEMAAH BERTAMBAH

Jika pada tahun-tahun sudah, pihak kakitangan dan sukarelawan Masjid Hang Jebat sendiri yang menyingsing lengan, memasak bubur Ramadan untuk diagihkan kepada jemaah yang berkunjung.

Namun sejak Ramadan tahun lepas, tugas itu beralih kepada sebuah penyedia khidmat catering yang turut membekalkan kepada empat masjid lain iaitu Ar-Raudhah, Tentera, Mukminin dan Ahmad.

Di pihaknya pula, Masjid Tentera mendapati bilangan jemaah yang kian bertambah sejak baru-baru ini.

“Kebelakangan ini, Alhamdulillah banyak juga yang datang. Pasal mungkin di Mediacorp dan Ayer Rajah Crescent terdapat banyak ofis di mana pekerjanya mengetahui di sini ada masjid yang terpencil di dalam dan tidak ramai orang tahu. Kini Alhamdulillah semua sudah mula tahu, mereka datang waktu zohor, asar, sampai maghrib pun ada insyaAllah ramai sekarang,” kongsi Encik Nirwan Kamsin, seorang sukarelawan yang sudah berkhidmat di masjid itu selama lima tahun.

Selain para pekerja, tambah Encik Nirwan, masjid ini kerap juga dikunjungi jemaah yang dahulunya tinggal di kawasan perumahan berdekatan, yang ingin sekali sekala melepaskan rindu pada masjid itu.

Menurut pihak masjid, jumlah bubur yang diagihkan di Masjid Hang Jebat akan ditambah seganda berbanding tahun lalu, menjadi sekitar 200 bungkus sehari.

TIDAK HILANG SEMANGAT GOTONG ROYONG

Walaupun kesibukan aktiviti menyiapkan bubur kini diambil alih oleh syarikat katering, ternyata sifat gotong royong masih mekar di kalangan sukarelawan masjid.

“Sekarang gotong-royong itu tak banyak, mereka datang waktu maghrib untuk gotong royong untuk bantu waktu iftar sahaja. Tetapi, tetap ada, pasal banyak jemaah di sini semua,” tambah Encik Nirwan.

Bagi seorang lagi sukarelawan masjid, Encik Abdul Malik, beliau mengharapkan agar lebih ramai orang yang datang untuk mengimarahkan masjid itu.

Masjid Hang Jebat merupakan antara segelintir kecil masjid setempat di mana jemaah masih boleh dapat merasakan suasana kampung yang memberi imbasan keadaan masyarakat Singapura pada satu ketika dahulu.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *