Pihak berkuasa Arab Saudi kini mengenalkan satu khidmat baru di bandar Madinah, bagi para jemaah yang ke bandar bersejarah itu. Dipanggil “Bas Pelancong”, perjalanannya bermula di Masjid Nabawi, membawa para pengunjung ke 11 tapak di Madinah.
Ini termasuklah ke tempat-tempat dan tanda mercu bersejarah seperti Jannat al-Baqi, Gunung Uhud, Masjid Qiblatain, Jalan Sultan dan pusat-pusat beli-belah.
Menurut Saudi Gazette, khidmat bas terbaru itu memulakan perjalanan pertamanya pada Selasa (6 Jun) dan dikendalikan sebuah syarikat pelancongan yang mewakili Penguasa Pembangunan Al-Madinah Al-Munawarah.
Laman akhbar itu juga melaporkan, dengan menyasarkan para pengunjung dari seluruh pelusuk dunia, perjalanan itu menawarkan para pemandu yang dapat bertutur dalam lapan bahasa.
Fahad Al-Bayti, pegawai hubungan awam penguasa itu, ditukil Saudi Gazette sebagai berkata perjalanan sulung itu, yang disaksikan pihak media dan para peniaga sedang dalam peringkat persediaan untuk pelancaran rasmi projek berkenaan di masa-masa akan datang.
Bas dua tingkat itu juga mesra penumpang kurang upaya supaya orang berkeperluan khas juga dapat menikmati manfaat projek unik berkenaan, menurut laporan Saudi Gazette.
Encik Al-Bayti menarik perhatian bahawa pertimbangan dilakukan dalam menetapkan harga tiket supaya ia mudah diakses orang ramai.
Projek tersebut juga termasuk lima bas pada fasa pertama, sebelum ia ditambahkan kepada 15 bas selepas itu. Ia akan beroperasi selama 14 jam setiap hari.
Source: http://berita.mediacorp.sg