Mufti: Jangan Ragu-Ragu Minta Bantuan Pihak Berwibawa

MASYARAKAT Melayu/Islam tidak harus teragak-agak dalam usaha mendapatkan bantuan pihak tertentu yang lebih arif menangani ajaran radikal dan ideologi pelampau, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.

“Walaupun susah, kita tidak harus berasa berat untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk menyelamatkan orang tersayang,” ujar beliau.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Fatris berkata beliau amat terganggu dengan berita penangkapan terkini, bahawa “seorang yang begitu muda boleh terpengaruh dengan kepercayaan yang keji, dan sedia mensia-siakan hidupnya”.

“Saya ingin menggesa masyarakat agar benar-benar mengambil serius isu radikal sendiri ini,” ujarnya.

Masyarakat perlu menghayati pengajaran daripada kes ini, lebihlebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Masyarakat telah sentiasa digesa agar mengamalkan amal maaruf dan nahi mungkar – mengajak kepada kebaikan dan mencegah kejahatan.

Ini bermakna memupuk dan melakukan semua perkara baik dan menolak perbuatan dan kepercayaan sangat keji yang dipupuk ISIS kerana ia tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.

Hal ini harus dilakukan semua dalam masyarakat, sama ada sebagai saudara, bapa dan ibu, kawan dan rakan sekerja.

Namun, masyarakat juga perlu tahu bahawa ia tidak boleh berdiri sendiri dalam usaha untuk menolak kejahatan dan mencapai rahmah dan belas kasihan.

“Kita berdiri bersama-sama sebagai sebuah masyarakat, bersedia untuk membantu antara satu sama lain, dan memanfaatkan kekuatan masing-masing,” ujar Dr Fatris.

Masyarakat tidak mampu kehilangan satu nyawa pun kepada ajaran pelampau dan eksklusif, katanya.


Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Muis di talian 6359-1199, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) di talian 1800-774-7747 atau menerusi aplikasi mudah alih RRG.

 

Source: www.beritaharian.sg

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *