Nama Fluff Bakery yang terkenal dengan kek cawan atau cupcake telah pun dikenali di Singapura dan Kuala Lumpur. Tetapi, profil usahawan muda di sebalik Fluff Bakery masih belum diketahui ramai. Yok bersembang bersama Nursyazanna Syaira Md Suhimi mengenai perniagaannya.
Soalan 1: Di manakah Fluff Bakery akan berada pada 10 tahun akan datang?
Syaira: Saya berharap Fluff dapat menjadi satu jenama dalam rantau ini. Saya ingin juga memasuki sekolah pastri dan kembali dengan ciptaan yang lebih besar dan baik untuk mempertingkatkan mutu pencuci mulut masyarakat ini.
Soalan 2: Sudah pasti Syaira dan suami (Mohammad Ashraf Mohammad Alami) sibuk dengan tugasan di Fluff Bakery. Jadi apakah kegiatan yang Syaira dan suami suka melakukan bersama?
Syaira: Kami kaki makan! Dan kami suka mencari tempat yang baik untuk makan. Kami juga bersama-sama akan cuba melakukan perkara yang menarik seperti sukan terjun udara. Ia seperti satu waktu rehat daripada bekerja dan memberi kami peluang untuk menumpukan kepada perkara yang paling penting – iaitu membuat kenangan bersama.
Soalan 3: Apakah reaksi keluarga apabila mendapat tahu Syaira ingin membuat kek sebagai pekerjaan tetap?
Syaira: Ibu bapa saya melalui segalanya supaya saya mendapat pendidikan terbaik. Mereka terpaksa menanggung hutang kad kredit dan ibu juga terpaksa menggadaikan barang kemas beliau supaya saya dapat ke universiti. Jadi secara semula jadi apabila mereka mendapat tahu, saya berdepan dengan tentangan dan rasa tidak senang hati daripada mereka. Namun akhirnya, saya rasa mereka hanya mahu saya rasa gembira dan apabila mereka melihat saya sangat gembira membuat kek, mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada saya. Saya hanya boleh berharap saya dapat dan terus membanggakan mereka.
Soalan 4: Jika anda tidak membuka Fluff Bakery, apakah pekerjaan anda sekarang?
Syaira: Mungkin saya masih dalam dunia perhubungan awam (PR) kerana itulah pekerjaan pertama saya dan satu-satunya perkara yang saya rasa saya boleh menjadikan sebagai satu kerjaya.
Soalan 5: Pelajaran atau mengejar impian membuka kedai. Mana satu nasihat Syaira kepada anak muda kita?
Syaira: Saya nasihat agar dapatkan pendidikan sebanyak mungkin sebelum terjun ke alam perniagaan. Atau mungkin buat perniagaan secara sambilan semasa belajar kerana tiada siapa dapat merampas pendidikan anda.
Source: Berita Mediacorp