CEO Hyundai Di Turkey Berpuasa Penuh Sepanjang Ramadan Meskipun Bukan Beragama Islam

Sempena bulan Ramadan, umat Islam kian memperbanyakkan ibadah selain menahan lapar dan dahaga bagi menghayati keindahan bulan mulia ini.

Yang jelas, terdapat pelbagai manfaat kesihatan daripada amalan berpuasa, antaranya bagi mengeluarkan toksin tubuh dan menyihatkan sistem pencernaan. Namun, bukan umat Islam sahaja yang mahu merasai nikmat berpuasa, nampaknya sebilangan masyarakat bukan Islam juga ingin saling menghormati bulan suci ini.

Malah, sesetengah daripada mereka bukan sekadar tidak makan di hadapan rakan Islam yang berpuasa, mereka juga ikut berpuasa selama sebulan! Salah seorang daripadanya adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hyundai, di bandar Assan, Turki.

CEO Hyundai itu, Mong Hyun Yoon, sudahpun berpuasa sejak tahun lalu dan tindakannya itu jelas amat dihargai oleh para pegawainya.

“Sejak tahun lalu, saya sudah mula berpuasa dengan keluarga Hyundai Assan untuk merasakan apa yang mereka rasakan selama berpuasa,” tulisnya dalam sebuah surat untuk pegawai yang jadi tular sejak beberapa hari lalu.

“Saya ingin menunjukkan rasa bangga saya terhadap mereka. Betapa kagumnya saya melihat para pegawai berpuasa dengan senang hati, tidak menganggap puasa sebagai suatu urusan yang berat,” katanya.

“Melihat para pegawai saya tetap bekerja dengan baik meskipun berpuasa membuat saya berasa simpati terhadap mereka dan belajar memahami orang-orang yang kelaparan di luar sana, hal ini adalah pelajaran yang sangat penting dari Al-Quran.”

Selain ikut berpuasa, Encik Mong Hyun Yoon malah turut memberikan ganjaran kepada pegawainya yang tetap bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.

Yang pasti, dengan wujudnya sikap toleransi dan prihatin oleh CEO mereka, para pegawai ternyata semakin dapat melakukan tugas dengan tenang dan gembira.

Malah, CEO yang bertugas di Turki sejak tahun lalu itu memang terkenal dengan sikap bijak menyesuaikan diri sehingga turut menghafal lagu kebangsaan Turki pada tahun lalu.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *