Insaf Menyambut Aidilfitri Dalam Penjara Selama 15 Tahun

Selama 15 tahun, suasana Aidilfitri dalam penjara membuka mata dan menyentak perasaan Encik Abdul*. Kerinduan yang membuak-buak kepada keluarga dan semangat persaudaraan yang hilang antara sesama Muslim di sana membulatkan tekad beliau untuk berubah. Setiap kali selepas bersolat dan bertakbir beramai-ramai pada pagi Hari Raya, Encik Abdul, 46 tahun berasa kecewa dengan sikap para banduan Muslim. Encik Abdul, ialah seorang bekas banduan yang dipenjarakan atas kesalahan dadah. Beliau, yang sebelum ini keluar masuk penjara sebanyak enam kali berkata kebanyakan daripada banduan merindui keluarga mereka setiap kali Syawal tiba.

Kali terakhir beliau ditangkap pada tahun 2010, menurut Encik Abdul, benar-benar menjadi titik tolak perubahan dalam dirinya. Berdepan dengan kemungkinan dijatuhi hukuman gantung pada ketika itu, Encik Abdul mula menyerah diri beliau sepenuhnya kepada Allah SWT. Sejak itu, Encik Abdul mula merenung kembali masa silam beliau dan menyedari bahawa dadah yang dijual sebelum ini bukan setakat menjejas kehidupan beliau sendiri, malah juga merosakkan hidup orang lain. Encik Abdul dibebaskan pada bulan Januari 2015 dan kini sudah bebas dadah selama dua tahun.

Sejak bebas dadah dan setelah dirujuk kepada Pertubuhan Perusahaan Pemulihan Singapura (SCORE), Encik Abdul mendapat pekerjaan dalam bidang logistik di IKEA dan masih lagi bekerja sehingga sekarang. Memberikan nasihat beliau kepada golongan lebih muda, Encik Abdul menegaskan bahawa dadah bukanlah alternatif untuk menyelesaikan masalah. Malahan ia hanya akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Beliau menambah, minda mestilah sentiasa berfikiran positif. “Kuasa pemikiran amat penting. Orang lain tak boleh ubah diri kita. Bila kita ambil dadah, sel-sel otak banyak yang mati. Keupayaan kita untuk berfikir tak kuat. Namun sebenarnya kita masih boleh berfikiran positif, hari-hari perlu fikir positif.”

(*Nama individu yang diwawancara BERITAMediacorp digantikan demi melindungi identiti sebenar mereka.)

 

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *