Pelakon Roslan Kemat ‘Terperanjat’ Pusara Abadi Digali Semula, Tapi Itu ‘Lombong Emas’ Baginya

Kalau anda ke tanah perkuburan Pusara Abadi, besar kemungkinan anda akan bertemu dengan seorang artis. Seorang pelakon televisyen.

Besar kemungkinan, beliaulah yang mula menyapa anda dahulu kalau anda ‘melawat’ ke kubur sanak-saudara, bukan sebaliknya.

Itulah Roslan Kemat, yang pernah berlakon dalam 30 buah drama. Wajahnya sentiasa peramah dan tersenyum, walaupun dikelilingi ribuan kubur dan batu nisan – sesuatu yang boleh membuatkan sebahagian orang berasa ‘ngeri’ dan tidak selesa. Yang pasti, di sini, beliau tidak berlakon. Ini pentas amat luas untuk beliau mencari rezeki.

Tidak lama lagi, Roslan Kemat akan menjadi tukang mandi mayat pula. Kenapa dan di mana? Itu akan kami jelaskan di perenggan di bawah nanti.

(Gambar: Ira Musfirah)

Sejurus selepas diumumkan tentang penggalian semula 35,000 kubur orang Islam di Pusara Abadi, memang, pelbagai reaksi bercampur-baur muncul di kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Yang pasti, proses penggalian semula tapak tanah perkuburan Choa Chu Kang itu bagi projek peluasan Pangkalan Udara Tengah, jelas menjejas banyak pihak.

Bukan sahaja bagi waris kepada mereka yang sudah meninggal dunia, bahkan mereka yang ‘cari makan’ di pekarangan pusara juga terkena tempiasnya. Roslan, berusia 55 tahun, tidak terkecuali. Beliau bekerja dengan syarikat pembuat dapur-dapur kubur, Atmi General Contractor.

Apa reaksi beliau apabila pertama kali mendengar tentang penggalian semula Pusara Abadi?

“Saya terperanjat. Orang di luar pun kecoh dan menghubungi saya untuk bertanya sama ada berita itu adalah benar. Memang kalau boleh, kubur ini jangan diganggu.

“Tetapi seperti flat HDB juga, bila-bila masa undang-undangnya boleh berubah. Kita terpaksa reda sajalah. Apa nak buat,” kata beliau semasa ditemui wartawan BERITAMediacorp di Pusara Abadi beberapa hari lalu.

PUSARA DIGALI SEMULA – KONTRAKTOR MASIH ADA UNTUNG

Meskipun begitu, Roslan lebih selesa memandang isu tersebut dari sudut yang positif.

Bahkan, dari sudut pandangan seorang kontraktor, penggalian semula kubur juga dapat sedikit sebanyak membantu pihaknya.

“Bagi saya, apabila kubur-kubur digali semula, kontraktor masih akan meraih keuntungan. Apabila kubur-kubur itu ditempatkan di pekarangan yang baru, kami masih perlu bikin rumput, iaitu sebanyak S$350 bagi setiap kubur.

“Malah, kawasan sekitar Jurong ini adalah ‘lombong emas’. Di sinilah ramai pihak dapat bikin duit, bikin dapur-dapur. Sebab itu jugalah saya datang ke sini, sebab mahu mencari duit lebih,” katanya, yang berada di pekarangan pusara sekitar empat kali seminggu.

Roslan, yang juga orang lama dalam dunia lakonan tempatan, turut berkongsi dengan BERITAMediacorp berkongsi pengalaman beliau sebagai ‘orang kubur’: “Sebagai contoh, pada hari Sabtu dan Ahad, ramai orang akan datang. Dari situ kami akan menghampiri mereka dan mencari pelanggan.

“Malah, pada bulan puasa, saya pernah mendapat lebih 10 pelanggan dalam tempoh sehari.”

LEBIH 30 TAHUN BERKHIDMAT DI KAWASAN PUSARA

Jika sesetengah orang mungkin berasa agak ganjil harus ‘berpejabatkan’ pusara untuk mencari pelanggan, yang pasti, tidak bagi Roslan.

Bahkan, beliau sebenarnya sudah berkhidmat di sekitar kawasan pusara sejak lebih 30 tahun di bawah syarikat yang dikendalikan makciknya itu.

“Lebih 30 tahun, sudah biasa, tak rasa apa-apa. Kami di sini untuk cari makan. Dulu saya bekerja sepenuh masa, tetapi sekarang lebih bersifat sambilan,” jelasnya, yang kini juga bekerja sebagai penghantar surat khabar, pemandu Grab dan penghantar kuih.

Bagi Roslan, beliau sanggup melakukan lima pekerjaan dalam satu masa demi membesarkan enam anaknya yang tersayang.

ANAK ROSLAN KEMAT MASUK UNIVERSITI

“Apabila anak-anak saya masih kecil, saya terpaksa bersusah-payah kerana sayalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga,” kongsi Roslan lagi yang mempunyai anak dalam lingkungan usia 16 hingga 29 tahun.

“Tetapi Alhamdulillah, tak sia-sia saya bekerja demi anak-anak. Sekurang-kurangnya salah seorang daripada anak-anak saya berjaya memasuki universiti di NTU. Saya sangat bangga dengan pencapaian semua anak saya,” luahnya. Ini jelas membuktikan bahawa hasil titik peluh bekerja di tanah perkuburan, ada peranan membantu membiayai anaknya, ke universiti.

Kebetulan, anaknya itu yang berusia 25 tahun, Muhammad Shafiq Roslan, baru selesai konvokesyen semalam (3 Ogos) dalam bidang Kimia dan Kimia Biologi.

Yang pasti, tidak kira dalam bidang apa sekali pun yang dilakukannya, Roslan Kemat berjaya mengimbangi masanya dengan baik, selain terus memburu peluang.

“Perubahan untuk menggali semula kubur jelas suatu yang positif. Kami dapat bikin rumput bagi kawasan baru selepas kubur digali semula, tetap meneruskan perniagaan dan meraih keuntungan,” kata pelakon sambilan itu yang pernah mendapat Anugerah Life Record bagi Pelakon Lelaki Terbaik untuk drama Jeritan Sepi.

(Gambar-gambar: Petikan skrin dari video Youtube Mediacorp Suria)

PROJEK TERBARU ROSLAN KEMAT: 6X7 – 6 KALI 7

Oh ya, Roslan memberitahu BERITAMediacorp, selain daripada kubur, beliau kini akan ‘bergiat’ pula sebagai tukang mandi mayat.

Bukan menukar kerjaya, tetapi meneruskan kerja seninya. Roslan Kemat sebenarnya bakal memainkan watak seorang tukang mandi mayat dalam drama lapan episod bertajuk ‘6X7’. Ia bakal ditayangkan di Mediacorp Suria bermula 17 Oktober ini.

Tapi kalau anda rindu untuk melihat wajah Roslan lebih awal, berkunjunglah ke Pusara Abadi. Roslan Kemat pasti beri salam kepada anda.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *