Sekitar 35,000 pelanggan Islam bagi sebuah agensi pelancongan Indonesia, First Travel, mendakwa wang mereka untuk menunaikan ibadah umrah, dilarikan. “Secara keseluruhannya, seramai 70,000 bakal jemaah yang sudah membayar. Tetapi hanya 35,000 saja yang sudah berangkat untuk menunaikan umrah, manakala yang lain diberikan pelbagai alasan yang menghalang mereka daripada berangkat sehingga kini,” dedah ketua pengarah jenayah Badan Reserse Kriminal (Bareskim) Herry Rudolf Nahak pada Khamis (10 Ogos).
Pengarah presiden First Travel Andika Surachman dan isterinya Anniesa Desvitasari Hasibuan, sudahpun ditangkap dan akan ditahan selama 20 hari sementara siasatan itu dijalankan, tambah Herry. Pasangan itu diberkas di pejabat Kementerian Ehwal Agama semasa mereka cuba meyakinkan para pegawai untuk tidak menarik balik permit mereka.
Encik Herry berkata First Travel menawarkan tiga pakej berbeza bagi umrah yang merangkumi promosi pakej umrah yang bernilai 14.3 juta rupiah (S$1,460), pakej biasa bernilai 25 juta rupiah (S$2,550) dan pakej VIP yang bernilai Rp 54 juta (S$5,510). “Setelah menghitung, pelanggan-pelanggan itu… kehilangan jumlah sekurang-kurangnya 550 bilion rupiah (S$5.6 juta),” jelas Encik Herry.
Salah seorang pelanggan, Emil, memberitahu Merdeka bahawa beliau sudah membayar 34.6 juta rupiah (S$3,530) sejak 2016 dan ketika itu dijanji bahawa beliau dapat berangkat ke umrah pada Mac 2017. Beliau sudah membayar jumlah itu kerana beliau mahu melalui pengalaman menunaikan ibadah umrah semasa bulan Ramadan. Menurut Encik Herry, siasatan itu dimulakan selepas 13 kakitangan First Tavel membuat aduan polis, menyusuli aduan oleh beberapa pelanggan bahawa wang yang sudah dibayar ke agensi itu tidak digunakan untuk umrah mereka. Permit First Travel ditarik balik oleh Kementerian Ehwal Agama pada 1 Ogos.
Source: Berita Mediacorp