Seorang lelaki berusia 24 tahun yang menayangkan tubuh di hadapan tiga wanita – termasuk seorang pengguna kerusi roda – dan kemudian mengekori mereka, dikenakan hukuman penjara tiga minggu pada Jumaat (25 Ogos). Muhammad Ariffin Abdul Majid ditegur oleh Hakim Daerah Lorraine Ho sebagai cuba “mengganggu” mangsanya melalui tindakan lucah yang berulang dan menyebabkan rasa takut dengan mengekori mereka dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Pada 30 Jun pada sekitar 10.00 pagi, Ariffin menyasar wanita berusia 62 tahun yang sedang menunggu lif di kolong blok 632B Punggol Drive. Meragui peri laku lelaki itu, wanita berkenaan berjalan ke blok yang lain dan merapatkan diri dengan seorang pembantu rumah yang sedang menolak wanita lanjut usia berkerusi roda di kolong blok tersebut. Ariffin mengekorinya dan berhenti di tembok di belakang tiga wanita itu. Ariffin menayangkan tubuh di hadapan ketiga-tiga wanita itu dan menyentuh dirinya secara lucah.
Dia turut menayangkan tubuhnya buat kali kedua beberapa detik kemudian. Selain melakukan tindakan lucah di tempat awam, Ariffin juga didakwa kerana menyebarkan gambar lucah secara online. Dia memuat naik dua gambar bogel bekas temanitanya pada tahun 2015 di laman Tumblr semasa bergaduh dengan wanita itu. Ariffin berkata dia berasa kesal akan tindakannya dan tidak akan mengulanginya. Hakim Daerah Ho berkata Ariffin cuba membalas dendam terhadap bekas temanitanya dengan memuat naik gambar-gambar berkenaan.
Source: Berita Harian