Majlis Ulama Indonesia (MUI) bahagian Lebak, di wilayah Banten Indonesia mengharamkan Pokemon Go, permainan yang kian mendapat perhatian ramai.
Langkah tersebut diambil berdasarkan pendapat para ulama secara amnya, bahawa permainan yang tidak bermanfaat hukumnya haram.
MUI bahagian Lebak menyifatkan Pokemon Go sebagai tidak bermanfaat dan boleh menyebabkan si pemain menjadi lalai terhadap kewajipan bersolat lima waktu serta pekerjaan mereka.
“Kami meminta MUI pusat segera melakukan kajian juga mengeluarkan fatwa terkait dengan Pokemon Go,” menurut Setiausaha Agung MUI bahagian Lebak, KK Ahmad Hudori, seperti yang ditukil laman Antara.
Menurut beliau, ajaran Islam mengharamkan permainan yang membazirkan waktu dan juga yang boleh membahayakan diri sendiri.
Demam Pokemon Go sudah sampai ke Indonesia dan sejauh ini, pemerintah negara itu berasakan masih belum ada keperluan untuk melarang permainan tersebut.
Namun, permainan itu tidak dibenarkan di tempat-tempat berhampiran pejabat pemerintah dan bangunan-bangunan utama negara itu.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi turut mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan Pokemon Go.
Menurut para ulama, kartun pokemon menggunakan simbol-simbol seperti “garisan silang menyerupai salib, segi tiga yang melambangkan Freemason dan simbol Shintoisme Jepun, yang berdasarkan kepercayaan terhadap lebih daripada satu Tuhan”.
Source: Berita MediaCorp