Inovasi sofwe ‘automating’ oleh sebuah syarikat baru tempatan, Versafleet meraih Anugerah Cemerlang Asia Pasifik Frost & Sullivan.
Anugerah itu mengiktiraf syarikat yang menghasilkan teknologi bermutu yang membawa nilai tambah kepada para pelanggan.
Sekitar 80 peratus syarikat tempatan masih lagi menggunakan cara manual untuk perancangan logistik. Proses itu sangat rumit, memakan masa dan mahal.
Menyedari potensi dalam bidang tersebut, Muhd Shamir Abdul Rahim, 34 tahun mencipta sendiri Versafleet – sofwe ‘automating’ yang memudahkan syarikat-syarikat melakukan perancangan logistik dengan cepat.
Encik Shamir, CEO Versafleet, berkata: “Ia sangat penting sekarang kerana dengan popularnya e-dagang, logistik, jumlah bungkusan yang dihantar tidak lagi dalam lima hingga empat bungkusan sehari, ia sekurang-kurangnya puluhan. Dari 60, kadang-kadang boleh meningkat kepada lebih 100 bungkusan sehari.”
Dengan itu, Versafleet menjadi portal sehenti untuk syarikat-syarikat – dari menguruskan pesanan, memantau pelanggan, mengesan kenderaan sehinggalah pesanan itu sampai di pangkuan pelanggan.
Sejak dilancarkan empat tahun lalu, lebih 60 syarikat kecil dan sederhana (SME) kini menggunakan sofwenya dan berjaya menguruskan sehingga 2,000 penghantaran bungkusan.
Bagi Encik Shamir, beliau percaya inisiatif yang dihasilkannya adalah selaras dengan misi negara bijak. Beliau mendorong para usahawan muda supaya memanfaatkan peluang yang tersedia ada.
“Geran-geran seperti iSPRINT daripada IDA, ia menawarkan diskaun, kadangkalanya sehingga 70 peratus untuk SME. Yang paling penting, perubahan minda. Contohnya, daya tahan, kegigihan, tidak senang putus asa,dapat mempelajari sesuatu yang baru dengan cepat kerana perkembangan teknologi terlalu pesat- tiga hingga enam bulan akan berubah,” kata beliau.
Memandang ke hadapan, Encik Shamir mahu meluaskan lagi sofwenya kepada lebih banyak SME tempatan.
Source: Berita MediaCorp