Seorang perenang lelaki mati lemas semasa menyertai pertandingan tahunan renang rentas pelabuhan di Hong Kong. Seorang peserta wanita masih dalam keadaan kritikal.
Perenang yang mati lemas berusia dalam lingkungan 40an tahun, dan dilaporkan mati semasa dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas diselamatkan oleh sebuah bot penyelamat.
Perenang wanita dalam lingkungan 60an tahun juga diselamatkan dalam keadaan yang sama dan kini berada di dalam penjagaan rapi hospital.
Acara lumba renang sepanjang 1,500 meter itu disertai sekitar 3,000 perenang iaitu kenaikan sebanyak 500 orang berbanding tahun sebelumnya.
Ia merupakan kematian pertama sejak acara tersebut dimulakan semula pada tahun 2011 selepas dihentikan selama 20 tahun. Sebelum ini, perlumbaan dihentikan berikutan keprihatinan berhubung tahap pencemaran air.
Source: Berita MediaCorp