Mufti Fatris Bakaram: Solat Kaffaratul Baul Bukan Solat Yang Disyariatkan

Baru-baru ini saya ditanya seorang kenalan mengenai Solat Kaffaratul Baul, atau di dalam Bahasa Melayunya: Solat Penghapus Dosa Kencing. Jawapan spontan saya kepadanya ialah itu kali pertama saya mendengar tentang solat sunnat bernama demikian.

Saya cuba mencari sumber atau asal usul kepada solat berkenaan. Usaha saya yang tidak seberapa membawa saya kepada sebuah kitab yang tidak pernah saya kenali sebelum ini, iaitu kitab Khazinah al-Asrar Jalilah al-Azkar. Kitab ini dikarang oleh seorang yang bernama Muhammad Haqqy al-Nazily, dan selesai penulisannya pada tahun 1320H.

Di antara perkara yang dibicarakan di dalam kitab ini ialah mengenai solat-solat sunnat. Di antaranya ialah Solat Kaffaratul Baul yang terdapat di halaman 38, seperti yang saya lampirkan gambarnya di sini. Terjemahannya adalah seperti berikut:

“Yang ketiga belas Solat Kaffaratul Baul, iaitu dua rakaat yang dikerjakan selepas Solat Dhuha. Dibacakan dalam rakaat pertama Surah al-Fatihah sekali dan Surah al-Kauthar tujuh kali, dan di dalam rakaat kedua pula al-Fatihah sekali dan Surah al-Ikhlas tujuh kali. (Beliau) berkata, “Barangsiapa mengerjakan solat ini dan diniatkan sebagai kaffarah (penghapus dosa) kencing, maka diampunkan Allah kencing yang telah mengenai tubuh dan pakaiannya”.

Tidak dinyatakan samasekali di sini siapakah tuan punya riwayat ini yang menyebut tentang fadilat dan kelebihan Solat Kaffaratul Baul. Walaupun bab ini dinamakan oleh pengarang sebagai “Bab Hadith-Hadith Sohih Yang Berkaitan Tentang Solat-Solat Sunnat Bagi Sebab-Sebab Yang Mendatang”, saya tidak pula berjaya menemui kata-kata di atas di dalam mana-mana riwayat hadith, baik sohih, hasan, dhoif, atau malah yang maudhu’ dan palsu sekalipun. Bahkan mencarinya di antara kata-kata para Sahabat Nabi juga tidak saya temui.

Saya berpegang dengan pendapat jumhur ulama yang menolak pengamalan sesuatu ibadat solat jika tiada sumber riwayat yang dapat dijadikan sandaran. Wallahu a’lam, mungkin ada riwayatnya yang saya tidak jumpa lantaran kekurangan saya sendiri. Tetapi setakat ini, pendirian saya kepada status Solat Kaffaratul Baul ini ialah ia bukan solat yang disyariatkan. Nasihat saya kepada semua ialah hendaknya kita melaksanakan ibadat solat sepertimana yang ada ajarannya daripada Rasulullah. Semoga usaha kita menghampirkan diri kepada Allah mendapat ganjaran kasih sayang dan keridhaanNya.

Allah jua Yang Maha Mengetahui lagi Maha Luas IlmuNya.

 

Source: Fatris Bakaram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *