Wedang Gerai Penjaja Melayu/Islam Tunggal Diiktiraf Michelin Di Singapura

Gado-gado dan tahu goreng sering menjadi santapan siang yang popular di kalangan warga Singapura.

Rahsia keenakan pada hidangan jalanan atau ‘street food’ ini terletak pada kuah dan sos kacang yang disira ke atas kepingan lontong serta sayur-sayuran dan tahu yang menjadi bahan asas gado-gado dan tahu goreng.

Kuah dan sos yang pekat dan padat dengan kacang tanah juga menjadi penambat hati para inspektor makanan misteri untuk menyeneraikan hidangan gado-gado dan tahu goreng yang masing-masing berharga S$3 dari gerai Wedang untuk Michelin Bib Gourmand Eat Singapore.

Malah Wedang merupakan gerai penjaja Melayu/Islam setempat tunggal yang tersenarai dalam pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu.

Michelin Bib Gourmand Eat ini mengiktiraf 17 penjaja dan 17 restoran yang menyajikan sajian di bawah S$45 dan senarai ini terdapat dalam buku Panduan Michelin Singapura.

Buku Panduan Michelin yang diterbitkan setahun sekali untuk mengiktiraf restoran-restoran terbaik di kota-kota utama dunia setiap tahun dengan pengiktirafan satu hingga tiga bintang. Tahun ini Singapura menjadi kota terpilih untuk pengiktirafan di peringakt antarabangsa itu.

Menurut pemilik Wedang, Encik Azman Khamis, beliau agak terperanjat apabila diberitahu oleh seorang rakannya bahawa gerainya telah disenaraikan oleh pihak Michelin.

“Saya pun tidak tahu ada anugerah seperti ini. Selama ini kita bekerja keras dan anugerah ini satu pengiktirafan bagi saya,” ujar pemilik Wedang Azman Khamis.

Encik Azman memulakan gerai Wedang ini di Pusat Makanan Golden Mile, 12 tahun yang lalu. Beliau berpindah ke pusat penjaja di Aljunied Ave 2 untuk sementara waktu awal tahun ini kerana kerja-kerja peningkatan yang dijalankan di Golden Mile. Awal bulan ini, Encik Azman berpindah semula ke tempat asal gerainya di Beach Road.

Sejak diiktiraf pihak Michelin pada Julai lalu, Encik Azman turut melihat peningkatan 10 hingga 20 peratus pada perniagaannya.

Selain Wedang, antara 17 restoran yang tersenarai dalam Michelin Bib Gourmand Eat Singapura termasuk dua buah restoran Halal – Hajah Maimunah dan Bismillah Biryani.

Wawancara dengan Encik Azman serta lain-lain informasi tentang anugerah Michelin dapat anda saksikan dalam Digit malam ini (7 Dis) pada jam 8.30 malam.

Digit malam ini akan membawa penonton dalam perjalanan gastronomi untuk mengupas mengapa Singapura digelar kota Syurga Makanan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *