KUALA LUMPUR: Penyanyi kecil molek, Siti Sarah Raissuddin akui salah dirinya sendiri setelah melalui detik cemas kehilangan anak perempuan beliau di sebuah pusat beli-belah.
Menceritakan insiden yang berlaku semalam (4 Jan) di laman Instagram beliau, Sarah berkata ia satu pengajaran buat dirinya.
Anak perempuan beliau, Zakira Talita Zahra, hilang di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur dan ia hanya mengambil masa lima saat untuk terjadi.
Menerusi laman Instagram, Sarah meluahkan isi hatinya yang berbunyi:
“Cinta hati ibu. Semalam satu pengajaran dalam hidup saya. Zakira Talita Zahra hilang di sebuah kompleks membeli belah di Kuala Lumpur. Ia hanya perlukan lima saat untuk terjadi.
“Salah ibu ya, saya akui, patutnya ibu ikat anak ibu. Biarlah apa orang nak cakap. Nak kata ikat kucing ke, ikat …… ke, janji anak ibu tak hilang.
“Bila saya tanya Talita cakap, ‘Talita ikut orang baik’. Walaupun sebelum ni puas saya ingatkan anak-anak supaya jangan ikut orang yang tidak dikenali, tapi mereka hanyalah anak kecil.
“Siapalah saya untuk beri peringatan, tapi bermula dari kes inilah saya akan mengikat anak saya tanpa saya peduli apa orang nak kata.
“Janji anak-anak saya selamat. Kalau ada yang jual ‘harnes’s tu tolong beritahu di sini. Terima kasih kepada Puan Aisyah kakitangan monorel yang menjaga Talita.”
Source: BERITAMediacorp