Masih Ingat Mahadi Shor @ Obek Didi?

Sejak tahun 1976 beliau membuatkan orang ketawa dengan lawaknya yang lucu dan bersahaja. ‘Slang’ atau telor percakapan bahasa Bawean beliau sering dimanfaatkan untuk menggeletek penonton dalam sketsa lawak.

Sebagai pelakon, banyak drama TV, sandiwara dan persembahan pentas yang sudah beliau jayakan. Malah beliau boleh berbangga kerana pernah menjadi seorang pelakon filem – iaitu filem Puteri Gunung Ledang. Pelawak yang kami maksudkan itu ialah Mahadi Shor. Atau lebih mesra dipanggil Obek Didi.

Kini Obek Didi, yang berusia 66 tahun, tidak sihat. Badannya semakin kurus. Beliau yang nama sebenarnya ialah Mohamed Shor, mengalami pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebelum ini diserang angin ahmar.

Dalam wawancara dengan BERITAMediacorp ini, Mahadi Shor, yang pernah berkongsi pentas dengan legenda lawak seperti Benyamin S (Indonesia) dan Yahya Sulong (Malaysia) menceritakan bahawa kerana faktor kesihatan yang teruk pada tahun 2005 memaksanya mengenepikan pelibatan seninya. Beliau perlu menjalani pelbagai rawatan serta pembedahan demi merawat penyakitnya itu.

Obek Didi bersama para pelawak terkenal dari Indonesia dan Malaysia iaitu Benyamin S dan Yahya Sulong.

KATA DOKTOR: MAHADI SHOR BOLEH HIDUP 6 BULAN SAHAJA

Tidak ramai yang tahu bahawa pelawak yang kelakar dengan wajahnya yang garang itu, pernah didiagnos oleh doktor bahawa beliau hanya dapat hidup enam bulan sahaja kerana komplikasi teruk yang dihadapinya. Ini setelah beliau dimasukkan ke hospital dan pernah koma selama seminggu.

Isteri beliau, yang mahu dikenali sebagai ‘Rozi’ sahaja menceritakan, suaminya juga menjalani pembedahan angioplasty atau ‘ballooning’ sebanyak 2 kali kerana saluran darahnya tersumbat. Memang ajal maut di tangan Tuhan. Kini 12 tahun sudah berlalu selepas ramalan doktor itu, Mahadi Shor masih lagi meneruskan kehidupan.

“Bila doktor cakap Obek Didi boleh hidup untuk enam bulan lagi, saya langsung tidak percaya dan terus mencari jalan lain untuk mengubatinya. Saya yakin segalanya terletak di tangan Allah. Manusia atau doktor hanya boleh merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya. Setelah meminta semua resit dan ubat-ubatan yang Obek perlukan, saya yang menjaganya sendiri.

“Alhamdullilah, walaupun tidak sembuh sepenuhnya, Obek masih lagi bernyawa dan boleh meneruskan kehidupannya walaupun tak sesihat dahulu. Saya menganggap ini semua dugaan, dan saya menerimanya dengan reda dan penuh tawakkal,” ujar Cik Rozi yang sudah sekitar empat dekad berumahtangga dengan Mahadi Shor.

Obek Didi menceritakan pengalaman beliau.

Kini, walaupun pertuturan Obek Didi agak perlahan, beliau masih boleh lagi berbicara dan mengingati zaman-zaman ‘kegemilangannya’ dulu bersama pelawak-pelawak mapan yang lain.

MENANGIS, HATI OBEK DIDI BAGAI DIHIRIS-HIRIS 

Seorang pelawak memang pandai menyembunyikan perasaan sedih atau kesusahan yang dialaminya. Bagaimanapun Obek Didi tidak dapat menyembunyikan perasaannya tentang peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu.

Bukan, bukan tentang sakit tubuh yang beliau alami. Tetapi apabila anaknya yang bernama Ibrahim Yusof, meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat barah hati Tahap 4. Hati Obek Didi bagai dihiris-hiris.

“Ibrahim memang anak yang baik. Tak pernah meninggikan suara. Bila dia meninggalkan kami berdua, Obek rasa amat sedih sekali. Lagipun beliau meninggal di pangkuan ibunya. Obek tahu Allah menyayangi beliau, walaupun sedih tapi kami reda atas pemergiannya. Kami berdua masih merinduinya, terutama sekali isteri saya,” katanya sayu kepada BERITAMediacorp, sambil menahan air mata.

Kini ayah kepada tiga orang itu mengaku masih lagi menangis bila teringatkan anaknya itu.

TIDAK BEKERJA & MASIH PERLU BAYAR DUIT RUMAH 

Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya suami isteri, Cik Rozi berkata suaminya pertama kali diserang pelbagai penyakit selepas hanya enam bulan menutup warung menjual nasi padangnya di Ang Mo Kio dulu. Kedai bernama ‘Warung Obek Didi’ itu terkenal dengan jualan Mee Rebus dan Mee Soto terpaksa ditutup kerana kerja-kerja ubah-elok dan kos sewa yang melambung tinggi.

“Bayangkanlah, hanya dalam masa 6 bulan kedai kami ditutup dan Obek mula duduk rumah, macam-macam penyakit mula menyerang. Semasa berjualan, kami bangun seawal 4.00 pagi dan terus bersiap-siap untuk masak dan kami membuat semuanya berdua. Dari pergi ke pasar, masak, cuci pinggan-mangkuk, layan pelanggan, semuanya boleh dilakukan. Namun kini setelah sakit, sejak lebih 12 tahun yang lalu, Obek Didi tidak boleh bekerja hingga kini,” jelas Cik Rozi sayu.

Obek Didi kini memerlukan sokongan tongkat untuk berjalan kerana kakinya terlalu lemah.

Cik Rozi, 64 tahun berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa segala perbelanjaan mereka seperti kos untuk ke pusat terapi boleh memakan ratusan dolar setiap bulan. Subsidi yang diterima hanya untuk mendapatkan ubatan di poliklinik sahaja. Itupun tiga bulan sekali. Semua pembayaran lain perlu ditanggung sendiri dan dibantu oleh dua orang anaknya.

Flat 2-bilik mereka di Blok 32, Balam Road juga masih perlu dibayar setiap bulan secara tunai. Walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan dari mana-mana badan setempat, Cik Rozi mengatakan teman-teman pelawak dan rakan artis yang lain, kerap juga menghulurkan bantuan kewangan untuk mereka berdua. Ini katanya meringankan sedikit beban kewangan mereka berdua.

“Secara terus-terang, kami tidak mahu menyusahkan orang lain dan meminta-minta. Siapa yang tahu Obek sakit, tahulah, jika tidak, saya tidak pernah menghebohkannya. Bagi saya, rezeki itu Allah yang jamin, kalau ada rezeki kita, adalah di situ…Kami hidup dalam serba sederhana, tetapi kami amat bersyukur kepada Allah,” ujar Cik Rozi, nenek kepada 7 orang cucu.

MAHADI SHOR INGIN KEMBALI MENGHIBUR, BERLAKON

Walaupun kakinya kini agak lemah dan perlu bertongkat, kemahuan ingin berlawak dan menghiburkan para penonton masih utuh di sanubarinya. Obek Didi terharu kerana teman seangkatannya, seperti Husin Saaban pernah menjemputnya untuk menjayakan rancangan komedi, walaupun berkerusi roda dan berperanan kecil.

Obek Didi bersama seorang lagi pelawak veteran, Husin Saaban.

“Terakhir Obek berlakon komedi mungkin lebih dua tahun lalu, Husin (Saaban) yang menjemput. Obek memang teringin sangat nak berlakon lagi cuma, kaki yang tak kuat. Hendak juga jejakkan kaki di ofis (bangunan) Mediacorp yang baru,” kata Mahadi Shor menyuarakan rasa hatinya.

“Walau apapun, Obek ingin mengucapkan terima kasih pada teman-teman artis dan teman-teman pelawak dan juga peminat yang banyak membantu. Seperti Husin Saaban, Ahmad Stokin, Hamzah Adon, Alias Kadir dan ramai lagi yang tak pernah melupakan Obek yang sakit ini dan terus bertanyakan khabar dan memberikan sumbangan yang ikhlas,” jelasnya dengan perasaan terharu dan penuh pengharapan.

Obek Didi bersama Alias Kadir.

Mahadi Shor sudah banyak mewarnai dan mengisi ruang lawak dan seni Melayu Singapura. Ketawa besar Mahadi Shor yang sudah menjadi ‘trademark’ beliau sama ada dalam iklan, drama komedi ataupun drama bangsawan, akan sentiasa dikenang para peminatnya.

Cuma kini, dalam keadaannya sekarang, Mahadi Shor atau Obek Didi mungkin bertanya di benak hatinya, apakah peminat seni atau dunia seni Melayu Singapura, masih ingat dan akan terus mengingati beliau.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *