Ulama: Petik Selfie di Tanah Suci Boleh Rosakkan Ibadah

haji

RIYADH: Mereka dilihat merakam video berjalan mengeliling Kaabah, mencium al-Hajar al-Aswad, bertenggek dekat Bukit Safa atau Bukit Marwah, atau berdiri dekat kubah hijau Masjid Nabawi.

Demam selfie “kini menjangkiti” jemaah dan pengunjung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sejak beberapa hari lalu, hingga menimbulkan kekesalan ulama dan jemaah lain yang mengutuk “tingkah laku seperti pelancong itu”, menurut Arab News semalam.

“Di Madinah, saya lihat satu keluarga menghadap matahari, mengangkat tangan seolah-olah sedang berdoa.

Saya tidak pasti apakah yang sedang mereka lakukan. Namun kemudian saya lihat seseorang di hadapan mereka sedang mengambil gambar,” kata Cik Zahra Mohammad, 27 tahun, seorang guru Pendidikan Islam di Riyadh.

“Saya juga melihat jemaah di Masjidil Haram yang mengambil selfie dengan Kaabah sebagai latar belakang dan selfie ini kemudian dimuat naik ke laman Facebook menjadikannya sebagai kegiatan media sosial dan merosakkan ibadah mereka seolah-olah memegah diri,” tambahnya lagi.

Keinginan merakamkan setiap pergerakan di masjid-masjid suci di Makkah dan Madinah dan berkongsi detik-detik berharga ini dengan rakan-rakan dan keluarga di media sosial menyebabkan lebih ramai jemaah menggunakan telefon mereka berbanding sebelum ini.

Ramai percaya tingkah laku itu boleh menjadi penghalang mencapai kerendahan hati dan ketenangan ketika melakukan ibadah haji, terutama kerana ibadah haji merupakan perjalanan sekali dalam seumur hidup.

Seorang ulama yang berpangkalan di Jeddah, Sheikh Assim Al-Hakeem berkata: “Fotografi tanpa sebab yang wajar merupakan isu yang dipertikaikan di kalangan ulama.

Namun walaupun timbul perbezaan dari segi pendapat, tidak harus timbul pertikaian mengenai maksud sebenar Haji.

“Ia berdasarkan keikhlasan dan mengikuti Sunnah. Nabi Muhammad saw bersabda: “Agar kamu sekalian sentiasa mengambil (mencontohi) tata cara mengerjakan ibadah haji dari aku”. (H/R Muslim).

“Mengambil selfie bukanlah contoh yang baik seperti yang dianjurkan Nabi,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ketika dihubungi Berita Harian semalam mengenai tren tersebut seperti yang dilaporkan Arab News, seorang asatizah setempat, Ustaz Azmi Abdul Samad, turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terbawa-bawa dengan kecanggihan alat teknologi sehingga boleh menjejas atau mengganggu kekhusyukan ibadah mereka.

“Kaabah dan Masjidil Haram adalah kawasan yang sangat diberkahi dan para jemaah seharusnya memanfaatkan masa berada di sana untuk insaf dan mendekatkan diri kepada Allah swt serta meninggalkan seketika urusan-urusan dunia yang tidak mendatangkan kemanfaatan,” jelasnya lagi.

“Sebaiknya, janganlah terlalu disibukkan dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kelalaian atau urusan keduniaan.”

Sumber: http://beritaharian.sg/dunia/ulama-petik-selfie-di-tanah-suci-boleh-rosakkan-ibadah#sthash.heSzpS1n.79eJyI7d.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *