Ciptaan Lagu Kebangsaan Singapura Oleh Allayarham Zubir Said Dianggap Peristiwa Paling Penting Dalam Sejarah Singapura Oleh Masyarakat Melayu

Lagi Kebangsaan Singapura, yang dicipta oleh Allahyarham Zubir Said pada 1958 dan dinyanyikan di sekolah dan upacara rasmi lain di sini, dilihat sebagai peristiwa paling penting dalam sejarah Singapura oleh masyarakat Melayu setempat.

Masyarakat Melayu Singapura juga melihat peristiwa itu sebagai paling penting dalam membentuk generasi akan datang di negara ini.

Mereka turut meletakkan penciptaan ikrar kebangsaan sebagai antara peristiwa paling utama dalam sejarah Singapura bagi generasi sekarang dan akan datang.

Demikian antara dapatan tinjauan terbaru oleh Insititut Pengajian Dasar (IPS), Universiti Nasional Singapura (NUS), mengenai Tanggapan terhadap Sejarah Singapura yang dilakukan antara Ogos dengan Oktober tahun lalu.

Sejumlah 1,516 rakyat Singapura ditinjau mengenai tanggapan mereka terhadap 50 peristiwa penting dalam sejarah moden Singapura – sejak pendaratan Sir Stamford Raffles di negara ini hingga pilihan raya umum pada 2011.

Soalan-soalan tinjauan telah diberikan dalam empat bahasa rasmi di Singapura – Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

“Saya fikir kaum minoriti, secara umumnya, mereka lebih sedar tentang konteks berlakunya insiden-insiden bersejarah. Mereka lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada ehwal semasa yang dikaitkan dengan berlakunya peristiwa-peristiwa itu,” kata ketua pengkaji tinjauan tersebut, Dr Leong Chan-Hoong, ketika diminta oleh Berita Harian mengulas dapatan itu.

Sambil memberi contoh beberapa lagi peristiwa yang tidak mudah dilupakan oleh masyarakat Melayu – termasuk rusuhan Martha Hertogh atau ‘Natrah’ pada 1950-an, komplot pengganasan Jemaah Islamiyah (JI) pada 2002 dan pelolosan Mas Selamat dari tahanan keselamatan – Dr Leong, yang juga Zamil Kajian Kanan IPS, berkata peristiwa yang berkaitan dengan isu perkauman lebih diingati masyarakat yang terjejas.

“Kedua-dua peristiwa – rusuhan Maria Hertogh pada 1950-an dan isu sekitaran komplot pengganasan JI pada awal 2000 – lebih diingati kaum Melayu berbanding dengan kaum lain,” tegasnya.

Beberapa peristiwa bersejarah lain, termasuk pembukaan rasmi Lapangan Terbang Changi (1981), pelancaran rasmi khidmat MRT (1988), pembentukan Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB (1960) dan peristiwa mantan perdana menteri, Encik Lee Kuan Yew, menangis di televisyen selepas perpisahan antara Singapura dengan Malaysia (1965), juga tidak terhakis daripada ingatan dan dianggap penting oleh masyarakat Melayu.

Bagi generasi mendatang pula, masyarakat Melayu menanggap peristiwa penciptaan lagu kebangsaan, penularan wabak Sars dan dasar dwibahasa yang diperkenalkan di sekolah pada 1966, sebagai antara peristiwa bersejarah penting yang tidak harus dilupakan mereka.


“Saya fikir kaum minoriti, secara umumnya, mereka lebih sedar tentang konteks berlakunya insiden-insiden bersejarah. Mereka lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada ehwal semasa yang dikaitkan dengan berlakunya peristiwa-peristiwa itu.”

– Dr Dr Leong Chan-Hoong.


Tanggapan Melayu Singapura

10 peristiwa utama dianggap penting oleh masyarakat Melayu

1. Penciptaan lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ (1958)

2. Penciptaan ikrar kebangsaan Singapura (1966)

3. Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Changi (1981)

4. Pelancaran rasmi khidmat MRT (1988)

5.Pembentukan Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB (1960)

6. Peristiwa mantan perdana menteri, Encik Lee Kuan Yew, menangis di televisyen selepas perpisahan antara Singapura dengan Malaysia (1965)

7. Mata wang Singapura diperkenalkan (1967)

8. Pembentukan Parti Tindakan Rakyat atau PAP (1954)

9. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan (1994)

10. Projek NEWater siap (2000)

10 peristiwa utama masyarakat Melayu anggap penting bagi generasi mendatang

1. Penciptaan lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ (1958)

2. Penularan wabak Sars (2003)

3. Pengenalan dasar dwibahasa di sekolah-sekolah (1966)

4. Penciptaan ikrar kebangsaan Singapura (1966)

5. Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Changi (1981)

6. Kemasukan kumpulan pertama anggota Perkhidmatan Negara (1967)

7. Rusuhan kaum (1964)

8. Pelancaran rasmi khidmat MRT (1988)

9. Mata wang Singapura diperkenalkan (1967)

10. Pembentukan Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB (1960)

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *