Jubah, Abaya Bukan Baju Raya Kita, Tegas Erma Fatima

Pengarah dan pelakon, Erma Fatima, ingin mengembalikan gaya tradisional orang Melayu dengan memperkenalkan koleksi pakaian Mak Cun, rekaannya sendiri yang berdasarkan watak popularnya menerusi drama popular siaran TV3, menurut satu laporan BH Online.

Menurut bintang berpengalaman itu, gaya tradisi seperti kebaya bukan sekadar boleh dipakai pada musim perayaan seperti Aidilfitri, malah pakaian sedemikian sesuai untuk kegunaan seharian. “Koleksi Mak Cun ditampilkan dengan mengambil ilham daripada watak yang saya lakonkan dalam drama terbabit.

Manakala satu lagi koleksi saya, Khalif, pula adalah rekaan yang diilhamkan daripada pakaian yang saya gemari. “Saya jenis wanita yang suka bergaya pelik, tetapi tidak melupakan elemen batik untuk setiap koleksi yang dihasilkan. Jadi, saya suai padankan semuanya.

“Koleksi saya pun hanya menggunakan kain kapas dan tidak mahal. Ia pakaian harian yang sangat praktikal. Sejujurnya, dua koleksi saya hasilkan ini bertujuan untuk mengembalikan gaya tradisi ketika sambutan raya dan pemakaian harian,” katanya kepada BH Online.

Menurut Erma, beliau tidak memilih konsep beraya dengan jubah atau abaya. “Jubah dan abaya bukan baju raya kita. Gaya sedemikian adalah lebih kepada orang Arab. Saya pula mahu kembalikan gaya Melayu yang masih bercirikan ketimuran,” katanya. Menyentuh pembabitannya dalam dunia penghasilan pakaian, Erma berkata beliau tidak berhasrat menjadi pereka fesyen.

“Saya memang bukan nak jadi pereka fesyen, malah tidak berminat pun untuk menuju ke arah itu. Saya hanya mahu memartabatkan pakaian yang masih berteraskan Muslimah dan menutup aurat. Ia juga bersifat tradisional dengan gaya wanita Melayu dan klasik. Saya buat baju yang saya suka pakai dan atas dasar ‘seronok-seronok’ saja.

“Saya yang reka pakaian berkenaan dan meminta bantuan tukang jahit bagi menterjemahkannya ke bentuk yang saya ingini. Pereka fesyen, Ashraf Zainal, terutamanya banyak membantu saya dalam hal ini,” katanya dalam laporan akhbar tersebut.

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *