1. Johor Bahru akan bertukar wajah secara radikal. Pembangunan yang dicadangkan, dengan berpuluh bangunan pencakar langit yang tinggi dan indah, dengan mercu tanda yang berbentuk ‘sky scraper’ tertinggi akan menjadikan Johor Bahru lebih menarik dan mengagumkan dari New York.
2. Tidaklah salah jika JBB (Johor Bahru Baru) ini akan mengheret Malaysia ke era baru. Ia tetap mencerminkan kemodenan dan kemajuan Malaysia. Seperti dengan Kuala Lumpur, Johor Bahru akan sampai Wawasan 2020 lebih awal dari wilayah lain di Malaysia.
3. Walau bagaimanapun soalan yang timbul ialah siapa yang akan tinggal dan bekerja dalam puluhan pencakar langit ini. Dari manakah mereka akan datang. Dari Johor Bahru? Dari Malaysia?
4. Bangunan-bangunan ini bukanlah rumah murah. Tentulah bahan yang diguna ialah daripada marmar dan granit. Lif dan escalator memudahkan pelawat naik-turun. Di tingkat atas yang mungkin 30 atau 40 tingkat tingginya, tentulah disedia flat mewah dengan sewa puluh ribuan ringgit sebulan.
5. Mungkinkah yang akan isi pejabat mewah ini syarikat dari Majidee atau Gelang Patah? Dan Penduduk terdiri dari orang Melayu Johor Bahru dan kampung-kampung di sekitar. Di khuatir bukan.
6. Pada 1819 Singapura dijual kepada British oleh Temenggong dengan harga Dolar Sepanyol 60,000. Terdapat beberapa nelayan yang tinggal di pulau itu, pada ketika itu.
7. Pendatang asing membanjiri Singapura sehingga penduduk asalnya tenggelam dalam bandar besar yang didirikan. Demikianlah besarnya jumlah pendatang asing ini sehingga Singapura menjadi negara asing yang tidak dikembalikan kepada Johor apabila British bebaskan pulau itu daripada penjajahannya.
8. Apakah mungkin bandar indah dan mewah yang sedang didirikan tidak akan jadi satu lagi Singapura. Dalam sistem Malaysia sesiapa yang tinggal di negara ini selama 10 tahun dari 12 tahun yang lepas berhak mendapat kerakyatan. Dan kita tak pandai tolak permintaan orang. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku sekarang.
9. Kawasan yang akan dibangunkan ini tentu akan menjadi sebahagian dari Malaysia. Ia akan memiliki beberapa kawasan pilihanraya. Kalau pun dicantum dengan kawasan lain majoriti penduduk akan terdiri daripada warga baru ini.
10. Sekarang kita tidak boleh sebut Melayu. Ia rasis. Tak apalah jika tidak ada seorang pun warga keturunan Melayu, asalkan yang akan mengundi dan memilih wakil rakyat terdiri dari warganegara Malaysia.
11. Saya mengalu-alukan transformasi di Johor Bahru seperti saya alu-alukan transformasi di lain-lain tempat. Yang penting ialah Malaysia menjadi negara maju walaupun ayam dikepok mati kelaparan dan itik di air mati kehausan.
Authored by chedet @Tun Dr Mahathir Mohamad
YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner
FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner
TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner
WEBSITE: rilek1corner.com
EMAIL: [email protected]
FEEDBACK: rilek1corner.com/hubungir1c/