Sakit Gout Kerana Kurang Minum Air

PENYAKIT sendi atau gout kerap dikaitkan dengan pemakanan.

Namun, sebahagian orang tidak sedar gout juga ada kaitan dengan kekurangan pengambilan air.

Menjelaskan tentang penghidratan itu, Konsultan Kanan, Klinik Reumatologi, Alergi dan Imunologi, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Law Wen Giap, berkata: “Apabila tubuh kekurangan air, bahan-bahan di dalam tubuh akan menjadi lebih pekat.

“Jika kadar asid urik di dalam badan anda memang sudah agak tinggi dan anda pula bermandi peluh (proses pengeluaran air), asid urik akan menjadi lebih pekat dan anda bakal lebih berisiko terkena gout.

Ini juga termasuk pesakit yang diserang sakit jantung dan angin ahmar yang mungkin hilang selera makan dan minum.

Tanpa pengambilan air yang mencukupi, serangan gout boleh menyusul.

Maka itu, di samping memantau pemilihan pemakanan, pesakit gout juga perlu memberi perhatian pada jumlah pengambilan air, ujar Dr Law. Jumlah itu, tambahnya, bergantung pada keperluan setiap individu dan kegiatan mereka sehari-hari.

Semalam, satu forum awam, Gout: Ubat-ubatan, Diet, Gaya Hidup, diadakan secara percuma dalam bahasa Melayu di TTSH.

Anjuran bersama hospital tersebut dan Yayasan Artritis Kebangsaan merupakan forum berbahasa Melayu mengenai gout di TTSH yang pertama setelah sedekad.

Antara topik yang disentuh ialah Apakah Itu Gout oleh Dr Anindita Santosa; Ketahui Makanan Demi Atasi Gout oleh pakar diet, Encik Nelson Chin; dan Tetap Cergas Walau Hidapi Gout oleh pakar fisioterapi, Cik Yong Sue Mei.

Dalam satu wawancara berbeza sebelum forum tersebut, Dr Law, yang merupakan antara penceramah dalam sesi berbahasa Melayu di TTSH sedekad lalu, berkata: “Secara umum, jumlah pesakit yang berkunjung ke klinik reumatologi khusus menangani artritis seperti gout memang telah bertambah. Tetapi ini mungkin kerana jumlah penduduk negara juga telah meningkat.

“Dari segi perangkaan, kami tidak mempunyai sebarang jumlah khusus memandangkan gout bukan satu penyakit rumit. Kebanyakan pesakit dirawat di poliklinik, klinik swasta atau sebagai pesakit luar. Hanya apabila keadaan artritis mereka agak meruncing barulah mereka dirujuk ke hospital,” ujarnya.

Gout adalah sejenis artritis – radang sendi – yang berpunca daripada tahap asid urik yang tinggi. Asid urik merupakan hasil akhir proses metabolisme dalam badan iaitu sejenis sisa buangan hasil degradasi atau pemecahan purina (purine) yang terdapat dalam makanan. Sisa asid urik biasanya dihantar ke ginjal untuk disingkir bersama air kencing.

Bagi pesakit gout, asid urik tidak dapat disingkir sepenuhnya dan paras asid urik dalam darah akan meningkat sehingga menyebabkan serangan gout.

Pesakit akan berasa sakit pada bahagian yang terjejas. Sendi tampak merah dan bengkak.

Apabila serangan berlaku empat kali setahun, Dr Law sifatkan ia sebagai tahap serius.

“Serangan itu disebabkan oleh sel darah putih menyerang asid urik atau kristal itu kerana menyifatkan ia sebagai benda asing. Apabila ia berlaku maka anda mengalami radang dan bengkak dan ia boleh menjejas di mana jua sendi dalam tubuh seseorang,” jelas Dr Law. Ia termasuk ibu jari kaki, buku lali, lutut, siku, telinga dan sebagainya.

Asid urik yang pekat itu juga boleh mendak, mengeras, membentuk kristal, bintil atau ketulan keras di permukaan kulit yang disebut ‘tophi’. Jika anda menusuk jarum di bahagian sendi yang bengkak untuk mendapatkan cecair, warnanya putih umpama susu atau kapur.

“Walaupun ia tidak mengancam nyawa, tetapi jika serangan berlaku pada sendi yang sama selama bertahun-tahun, sendi tersebut akan rosak dan terhakis.

Ia akan mengehadkan pergerakan, membuat anda sukar berjalan dan boleh menyebabkan kecacatan,” jelasnya.

Sumber: http://beritaharian.sg/premium/setempat/gout-juga-kerana-kurang-ambil-air#sthash.xt6ZmCrg.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *