KEBELAKANGAN ini, apabila duduk di beranda rumahnya di Setia Indah, Johor, perasaan sedih bercampur kecewa menyelinap ke dalam hati Encik Jeffri Husin.
Warga Singapura itu gundah kerana dalam proses menjual rumah idamannya itu – sebuah teres sudut dua tingkat dengan empat bilik tidur – dan pulang ke Singapura.
Bapa empat anak berusia antara 11 dengan 20 tahun dan masih bersekolah di Singapura itu terpaksa mengambil keputusan tersebut kerana tidak sanggup menanggung kos tinggi membayar tol di Koswe setiap hari.
“Ini bukan soal jual rumah saja, tapi berakhirnya sebuah impian,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Encik Jeffri, 46 tahun, yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan di sini, berkata beliau dan isterinya memutuskan menjual flat lima bilik mereka di Pasir Ris dan berpindah ke Johor empat tahun lalu setelah tertarik mendengar kisah teman yang seronok tinggal di rumah lebih besar dan berhalaman di seberang Tambak.
Saat membeli rumah idaman mereka itu, yang berharga kurang RM500,000 ($195,300), detik paling bahagia bagi beliau dan isterinya.
“Kami sudah bayangkan rumah ini sebagai tempat kami meniti usia senja nanti,” kata Encik Jeffri yang menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di Melaka dan masih rapat dengan ramai anggota keluarganya di Malaysia.
Beliau berkata kenaikan kadar tol itu beban yang terlalu berat dipikul. Malaysia menaikkan kadar tol sedia ada dan mengenakan tol baru bagi kenderaan keluar dan masuk Singapura melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru mulai bulan lalu.
Singapura akan mengambil langkah serupa, sejajar dengan dasar pemerintah menyepadankan kadar tol dengan yang dikenakan Malaysia, mulai bulan depan.
Selain itu, Malaysia merancang memperkenal Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kereta asing yang memasuki negara itu melalui Johor. Dengan kenaikan kadar tol, Encik Jeffri membayar sekitar $400 sebulan bagi menyeberang Koswe.
Sekiranya VEP itu dilaksana, beliau dikehendaki menanggung kos sekitar $600 sebulan.
Merumitkan lagi keadaan, Encik Jeffri dikehendaki menjual rumahnya di Johor sebelum boleh membeli flat di Singapura, ekoran undang-undang yang memerlukan seseorang itu menjual hartanah lain yang dimiliki, baik di dalam mahupun luar negara, dalam tempoh enam bulan selepas membeli flat HDB.
Pilihan lain bagi Encik Jeffri ialah menyewa flat di sini. Namun, beliau tidak mampu kerana kadar sewa kekal tinggi walaupun pasaran sewa agak lembap.
“Untuk sewa seluruh flat, anggarannya $2,000 sebulan. Ia tidak selesaikan masalah saya,” kata beliau. Lantaran itulah, satu-satunya cara baginya ialah menjual rumah idamannya di Johor dan membeli flat di sini.
Menurut Encik Jeffri, beliau boleh membeli flat tiga bilik berdasarkan simpanannya dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF), tetapi beliau telah memohon pinjaman bank bagi membeli flat lebih besar.
Rabu lalu, Berita Harian melaporkan kebelakangan ini ejen hartanah setempat menerima banyak panggilan daripada orang Melayu Singapura yang tinggal di Johor meminta mereka mencarikan flat di sini untuk dibeli atau disewa.
Ejen tersebut mendedahkan sebahagian mereka yang mahu pulang ke Singapura ekoran kadar tol lebih tinggi itu tersepit kerana tidak mampu menyewa flat sedangkan rumah mereka di Johor sukar dijual.
Namun, Encik Jeffri yakin dapat menjual rumahnya di Johor dalam masa terdekat. “Sebabnya, selain teres sudut, pemandangan rumah saya tidak terhalang,” kata beliau. Keadaan tidak menentu itu membuat perasaan kecewa dan sedih Encik Jeffri lekas bertukar menjadi marah.
“Keputusan yang diambil pihak berkuasa tidak ambil kira kesannya ke atas orang biasa seperti kami. Banyak projek perumahan di Johor dipasarkan kepada orang Singapura.
Kami yang tinggal di Johor juga menyumbang kepada ekonomi Malaysia, jadi kenapa kami dibuat sebegini?
“Saya bukan menolak sepenuhnya kenaikan tol, tapi biarlah ia berpada-pada.
Dan bila dinaikkan, pastikan ada pilihan alternatif, seperti MRT,” katanya.
Sumber: http://beritaharian.sg/setempat/rumah-idaman-di-jb-jadi-igauan-akibat-tol#sthash.zeAdMKyS.dpuf