LIMA tahun lalu, Nurul Iffah Baharudin muncul sebagai pelajar terbaik Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dengan agregat 244 mata.
Tahun ini, beliau mengulangi pencapaian cemerlangnya dengan menjadi pelajar terbaik madrasahnya bagi Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’.
Anak sulung lima beradik itu meraih gred enam mata bagi L1R4 (untuk kemasukan ke politeknik) dengan lapan kepujian.
Nurul Iffah, 16 tahun, mendapat gred A1 bagi Matematik, Bahasa Arab, Sains Gabungan, Bahasa Melayu dan Pengetahuan Agama Islam (IRK) serta gred A2 bagi Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan dan Geografi.
Keputusan cemerlang itu adalah hasil ketekunannya mengulang kaji pelajaran selama tiga jam setiap malam bukan setakat dari awal tahun lalu malah dari sejak memulakan pengajian di sekolah menengah.
“Saya pastikan saya mengulang kaji pelajaran secara konsisten.
“Saya akan pastikan saya belajar setiap hari dari 7 hingga 10 malam. Saya akan turut mengikut jadual pembelajaran ini pada hujung minggu kecuali jika saya tiada di rumah,” kata anak pasangan pembantu juruukur dan suri rumah itu.
Nurul Iffah, yang mendapat tempat pertama di dalam kelas bagi setiap peperiksaan sejak menengah satu berkata beliau tidak meletak apa-apa sasaran bagi peperiksaannya namun berharap melakukan yang terbaik agar dapat memasuki politeknik.
Beliau ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan atau sains kerana meminati Matematik dan Sains.
Nurul Iffah, yang mengikuti kelas tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Arab, berkata ramai orang, terutama ibu bapanya, menjangka beliau akan mengulangi kejayaan yang diraih dalam PSLE dan muncul sebagai pelajar terbaik madrasahnya sekali lagi.
“Tahun lalu, pelajar terbaik dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, yang juga pelajar madrasah paling cemerlang, mendapat gred A1 dalam lapan mata pelajaran. Ibu bapa saya menggalakkan saya cuba mendapat keputusan serupa. Saya tidak berasa tertekan sebaliknya menganggap ia satu motivasi,” katanya.
Nurul Iffah kini bekerja sebagai pembantu guru tadika sementara menunggu keputusan kemasukan ke politeknik.
Beliau bercita-cita menjadi guru sekolah menengah dan mengajar mata pelajaran Matematik atau Sains kelak.
Source: http://beritaharian.sg