Selepas peristiwa serangan ganas 9/11 di Amerika Syarikat, istilah Salafi telah menarik perhatian ramai.
Salafi telah dipersalahkan sebagai sebuah ideologi yang menyokong keganasan dan pengganas.
Sejak itu, sebilangan penulis Barat dan media gagal mengetengahkan analisis yang seimbang dan tetap bagi istilah Salafi: dengan hanya menyebarkan perspektif negatif dan condong.
Sebenarnya Salafi amat disalah anggap oleh kerana sifatnya yang agak kabur.
Ia merangkumi pelbagai pemahaman yang termasuk keganasan dan keamanan.
Oleh itu, usaha-usaha memberikan pengertian menyeluruh yang dapat diterima daripada istilah Salafi telah menjadi sesuatu yang amat sukar oleh para ulama.
Soalan penting bagi siapakah atau apakah yang layak digelar sebagai golongan Salafi masih dipertikaikan.
Namun perlu ditekankan bahawa istilah Salafi berasal daripada tradisi Islam.
Salafi dari segi asalnya hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai pemahaman Islam.
Namun, penting ditekankan bahawa istilah Salafi telah melalui pelbagai pemahaman dari masa ke masa, dan penting bagi kita memahami makna Salaf dan Salafi dari segi dasar, sejarah dan konteksnya.
APAKAH SALAFI DAN SIAPAKAH SALAF?
Salafi atau Salafiyyah berasal daripada istilah ‘Salaf’.
Salaf dalam bahasa Arab bermaksud “yang telah berlalu” (salafa). Dalam bahasa Arab, orang yang telah mendahului nenek moyang kita dianggap seorang salaf.
Al-Quran juga menggunakan perkataan ‘salaf’ dalam hal ini.
“Dan Kami jadikan mereka orang-orang yang telah lalu (salafan) sebagai contoh bagi zaman kemudian,” (Quran 43:56).
Dari sudut Islam, istilah Salaf itu merujuk kepada umat Islam dari zaman awal, yang juga sahabat kepada Nabi Muhammad saw, orang yang mengikuti mereka dan para ulama daripada tiga generasi pertama umat Islam.
Umat Islam zaman awal ini dikenali sebagai Salaf Al-Shalih dan mereka menikmati status istimewa dalam kalangan umat Islam seperti yang disebut oleh Nabi Muhammad saw: “Sebaik-baik umat adalah generasiku, kemudian sesudahnya, kemudian sesudahnya.”
Pastinya, disebabkan mereka dekat kepada zaman Nabi saw, bermakna mereka juga lebih dekat kepada ajaran Islam yang asal.
Para sahabat Nabi saw menerima pengajaran langsung daripada Rasulullah saw dan dapat menyaksikan kedua-dua wahyu dan juga konteks penurunannya, manakala dua generasi berikutnya menerima ajaran Islam menurut tafsiran para sahabat.
Salafiyyah dikenali sebagai manhaj (metodologi) atau amalan para golongan Salafi.
Dalam konteks moden, istilah Salafi merujuk kepada pengamal Salafiyyah.
Dari segi bahasa, istilah Salafi ini adalah satu anggapan ulama Salaf. Salafi adalah seorang yang mengamalkan ajaran Salaf.
Oleh itu, apabila seseorang mengaku dirinya sebagai seorang Salafi, ia bermaksud bahawa beliau mengamal dan mengikuti ajaran Salaf.
SALAFI MODEN DAN CABANG-CABANGNYA
Istilah “Salafi Moden” merujuk kepada kecenderungan agamanya kepada sesebuah idea atau identiti.
Identiti di sini bermaksud sesuatu sistem kepercayaan (ideologi), idea, moral, kepentingan sosial, politik dan komitmen Salafi Moden.
Ia juga merupakan sebuah ideologi yang menentukan bagaimana dunia dan sistemnya harus berfungsi.
Ajaran tersebut berdasarkan ajaran daripada Al-Quran, Sunah (hadis) dan amalan generasi awal Islam (Salaf).
Oleh kerana mereka mengikuti ajaran Salaf, maka mereka menggelarkan diri mereka sebagai individu daripada golongan Salafi.
Salafi Moden dilihat sebagai seorang individu yang berusaha mahu penyuburan semula warisan sejarah Nabi Muhammad saw, para sahabat beliau dan generasi awal Islam dengan mengamalkan ajaran pada zaman silam kepada masa kini.
Salafi Moden bermacam: ia terdiri daripada pelbagai elemen dan orientasi – ada yang sederhana dan ada juga yang digelar ekstrem (pengganas).
Walaupun kebanyakan Salafi sebulat suara dalam hal akidah dan iman, mereka berbeza pendapat mengenai isu-isu perundangan dan politik.
Ulama Islam, Abdullah Saeed, membahagikan mereka kepada empat golongan – Salafi Moden, Salafi Islam, Salafi Tegar dan Salafi Militan.
Salafi Moden merujuk kepada idea-idea yang muncul daripada penghujung abad ke-19 di Mesir dan Damsyik sebagai reaksi kepada kelaziman idea-idea Eropah dan berusaha menerangkan kesan positif dan negatif terhadap tamadun Islam.
Golongan Salafi ini dikaitkan dengan Muhammad Abduh.
Beliau berasal daripada pertengahan abad ke-19 di Mesir dan menyaksikan tempoh pengaruhan Barat ke atas Timur Tengah.
Beliau percaya bahawa pengaruh itu menjejas masyarakat Islam yang senantiasa meniru membabi buta cara-cara Barat lalu menyebabkan keruntuhan moral dan kemunduran di kebanyakan masyarakat Islam.
Bersama dengan reformis yang lain di zamannya, iaitu Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Rashid Rida, Muhammad al-Shawkani dan Jalal al-San’ani, mereka mencadangkan bahawa penyelesaian terletak dalam pengkajian sumber asal agama.
Ini termasuk, selain daripada Al-Quran dan Sunah, pematuhan kepada amalan Salaf Al-Shalih itu.
Bagaimanapun, para reformis awal ini berpendapat bahawa orang Islam tidak seharusnya memisahkan diri mereka sepenuhnya daripada dunia Barat.
Malah, mereka mengalu-alukan reformasi Islam yang mentafsirkan sumber-sumber awal Islam sambil bersaing dengan cara-cara kehidupan moden.
PERBEZAAN: SALAFI ISLAM, SALAFI TEGAR DAN SALAFI JIHAD
Salafi Islam kadangkala dikenali sebagai Salafi Politik, menekankan penerapan pemahaman Salafi di arena politik.
Contohnya kumpulan Persaudaraan Islam dan Hizb Al Parti Ummah di Mesir.
Salafi Tegar lazimnya dikaitkan dengan Arab Saudi dan dipercayai telah ditubuhkan oleh Muhammad Ibn Abd al Wahhab.
Ia adalah jenis Salafi yang lebih tradisional di mana penganutnya mengamalkan cara-cara Islam yang tegas dan selalunya tidak boleh bertolak ansur.
Salafi ini merujuk kepada Ibn Taimiyah (1263-1328) dan bukan para ulama abad ke-19 seperti Muhammad Abduh, Al-Afghani dan Rashid Rida.
Akhirnya Salafi Militan, yang juga dikenali sebagai Salafi Jihad.
Golongan ini cenderung kepada aksi militan yang berhujah bahawa konteks semasa memerlukan keganasan dan revolusi.
Fahaman ini dikaitkan dengan Osama Bin Laden dan Ayman Al-Zawahiri.
Golongan-golongan Salafi yang berbeza ini sentiasa merujuk kepada ulama-ulama mereka yang berlainan fahaman sebagai rujukan agama demi kesahihan dan bimbingan.
Tafsiran agama yang berbeza mempunyai implikasi yang mendalam terhadap politik, sosial dan ekonomi mereka.
Perselisihan dan pertikaian sesama golongan ini adalah jelas.
Bolehkah seorang Muslim mendengar muzik?
Patutkah seorang Muslim menahan diri daripada membeli barangan dan produk Israel?
Haruskah seorang Muslim berjuang menjatuhkan kerajaan Islam yang gagal melaksanakan syariah sepenuhnya?
Setiap golangan Salafi mempunyai jawapan dan nasihat yang berbeza bagi penganutnya untuk soalan- soalan tersebut dan yang lain-lain.
Kategori Salafi Moden yang disebutkan di atas adalah pada permukaan sahaja.
Ia hanyalah suatu anggaran atau tanggapan untuk membantu kita agar lebih memahami dengan mendalam mengenai trend ideologi Salafi Moden.
Perbezaan di antara golongan itu menjejas sesetengah golongan Salafi yang juga bersifat aman dalam kalangan majoriti yang membentuk Salafi Moden.
- Ustaz Dr Mohamed Ali, Penulis Penolong Profesor, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang.
Source: http://beritaharian.sg