Biar Dicemuh, Makcik ‘Warden’ Setia Jalankan Tugas

Bukan sahaja bekerja seorang diri, termasuk di bawah cahaya matahari yang terik, malah ada kalanya ditohmah dan dicemuh orang ramai.

Itulah antara pengalaman Cik Rukinah Gyat bekerja sebagai warden tempat letak kenderaan.

Biar begitu, beliau selesa melakukannya kerana ia tetap pekerjaan penting lagi halal dan sudah memberinya rezeki selama 40 tahun.

Cik Rukinah, 58 tahun, mula bekerja sebagai ‘mak cik saman’ – gelaran yang diberi sebahagian pemandu – pada 1975, setelah tamat sekolah menengah.

Beliau tidak pernah terfikir mahu mencari pekerjaan lain antara lain kerana kawasan ‘rondaan’ beliau berdekatan rumahnya di Bedok North.

Ini walaupun ada kalanya beliau terpaksa menangani pemandu bermasalah di lebih kurang lapan tempat letak kenderaan yang diawasinya setiap hari.

“Sejak saya mula bekerja pada umur 19 tahun, saya sudah jumpa semua jenis pemandu, yang berkelakuan baik dan yang biadab terhadap saya.

“Cik pernah dimarahi tanpa henti oleh seorang pemandu. Apabila cik cuba terangkan tentang kesalahannya dengan baik, abang si pemandu pula keluar dari kereta dan marah cik di depan orang awam di situ,” ujar ibu dua anak itu.

Bahkan, Cik Rukinah pernah menangis kerana insiden-insiden begitu. Beliau memujuk dirinya dengan berkata ia sebahagian daripada lumrah pekerjaannya.

Beliau yang bekerja lapan jam sehari, dari 3 petang hingga 11 malam, lima hari seminggu, membawa pulang sekitar $1,200 sebulan.

Kini, kata-kata kesat dan cemuhan tidak lagi dipedulikan sangat kerana pada Cik Rukinah, beliau hanya menjalankan amanah.

Namun, beliau pernah juga berjumpa pemandu yang bukan sahaja bersopan setelah disaman, malah memberinya kata-kata semangat.

“Beberapa kali saya menemui pemandu yang mendorong saya supaya melakukan kerja saya dengan penuh sabar walaupun mereka sendiri telah disaman saya,” ujarnya beliau sambil tertawa.

Biarpun umur semakin meningkat, Cik Rukinah tidak ada rancangan bersara, antara lain kerana pekerjaan itu juga memberi beliau peluang bersenam.

“Saya boleh bersenam sambil bekerja kerana perlu berjalan dan menaiki tangga. Badan saya tidak mudah letih dalam usia sebegini. Selagi saya kuat, saya akan terus bekerja untuk mendapatkan wang sendiri,” katanya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *