Pelawak Celebrity Malaysia Very The Lepak On Set

Terperanjat pelakon Sani Hussin semasa menjalani sesi penggambaran bagi rancangan lawak terbaru, Super Spontan Upsize, baru-baru ini.

Sani, yang diundang bukan sebagai pelawak tetapi sebagai ‘pengurus’ pasukan, agak terperanjat dengan budaya kerja di sana memandangkan kesemua penggambaran diadakan di Malaysia.

“Kalau kat Singapura, kita pentingkan disiplin dan semuanya mesti teratur.

“Tetapi di sana, suasananya agak santai. Malah ada pelawak yang dengan bersahaja boleh bermain bola di dalam studio,” kongsinya.

Rancangan yang bakal ditayangkan di Suria pada 4 Ogos nanti menampilkan pelawak Malaysia dan Singapura.

Antara yang diundang termasuk Najip Soiman, Sahfudin Mahfuz, Fakkah Fuzz, Mamat Bora serta satu-satunya bunga di antara kumbang, Farhana M. Noor.

Dari Malaysia pula, pelawak yang disertakan termasuk Johan, Rahim, Zulin Aziz, Pak Yus dan Ajak Shiro.

Sani juga menyifatkan status para selebriti di sana berbeza daripada selebriti di sini.

Ini memandangkan kehadiran mereka bagi apa jua rancangan menjadi daya penarik yang dapat meningkatkan lagi rating sesebuah rancangan.

Ini belum termasuk unsur kewangan yang dapat diraih sesebuah syarikat yang menampilkan para selebriti ini dalam acara mereka.

Bagaimanapun, Sani akui ada yang boleh dipelajari daripada ketangkasan dan kepetahan berbual para pelawak Malaysia.

Menurutnya, mereka memang cukup handal selain boleh berfikir dengan pantas dan berkesan.

“Rancangan Super Spontan ini sebenarnya mengasah dan mencabar minda serta kebolehan pelawak.

“Ia sesuai untuk pelawak yang memulakan kerjaya mereka dalam dunia teater.

“Ini kerana dari situlah kita mula mempelajari tentang kemahiran melawak serta kemahiran mengubah suai sesuatu situasi.

“Jadi para pelawak Malaysia ni memang cepat dan mudah mendapat idea selain menjadikan sesuatu bahan yang simple itu sebagai sesuatu yang melucukan,” katanya sambil menambah bahawa para pelawak di sana tetap terus berjenaka meskipun di luar set penggambaran.

Super Spontan Upsize yang diterbitkan Grid Media Pte Ltd, syarikat milik Khairudin Samsudin, dihoskan Najip Ali dengan pengadil tetap, Afdlin Shauki dan Suhaimi Yusof.

Antara pengadil undangan termasuk Norish Karman, Shah Iskandar, Hisyam Hamid, Khairudin Samsudin dan Amy Mastura.

Para pelawak juga dibahagikan kepada dua kumpulan yang namanya juga sudah cukup mencuit hati – Gajah Gerek dan Selamba Kodok.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *