Akhirnya Diterima Fakulti Perubatan NUS Setelah Cuba Tiga Kali

Bukan sekali tetapi dua kali permohonan Encik Muhammad Mirza Syafiq Rahmad untuk memasuki sekolah perubatan di universiti setempat ditolak.

Namun, tidak sesekali terlintas dalam fikiran bekas pelajar Maktab Rendah Nanyang (NYJC) itu mahu melupakan impian menjadi doktor yang membara dalam dirinya sejak lapan tahun lalu.

Akhirnya berkat azam kuat itu, yang termasuk usaha cuba lebih memahami tugas seorang doktor, Encik Mirza, 21 tahun, diterima Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) tahun ini setelah tiga kali mencuba.

Beliau akan memulakan pengajian lima tahun itu Ogos ini.

Selain NUS, beliau juga memohon untuk mempelajari bidang perubatan di lima lagi universiti luar negara, termasuk di Britain dan Australia – namun permohonannya turut ditolak.

Impian tunggal menjadi doktor berputik dalam hati Encik Mirza apabila beliau melangkah ke sekolah menengah, setelah melihat neneknya bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Selepas mendapat keputusan peperiksaan GCE peringkat ‘A’ dua tahun lalu, beliau memohon ke sekolah perubatan NUS dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau dipanggil bagi temu duga oleh kededua universiti tetapi ditolak.

Namun, anak muda itu tidak sekadar goyang kaki sementara menunggu permohonannya diterima.

Semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Encik Muhammad Mirza memohon ditugaskan sebagai medik ambulans agar dapat lebih memahami tanggungjawab pegawai perubatan dalam situasi kecemasan.

Beliau turut meluangkan beberapa hari bersama pakar jantung di Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, dan Dr Zuraimi Mohamed Dahlan di kliniknya, Banyan Clinic, untuk lebih memahami tugas dan peranan seorang doktor.

Selain itu, beliau dan beberapa kawan memulakan projek memantau kesihatan warga emas di Ang Mo Kio yang dipanggil Our Health, Our Elderly (Kesihatan Kita, Warga Tua Kita).

“Saya melakukan itu semua setelah semua permohonan saya memasuki sekolah perubatan ditolak kerana saya mahu meyakinkan diri saya bahawa menjadi doktor benar-benar sesuatu yang ingin saya lakukan,” kata anak pasangan ejen hartanah dan kakitangan sokongan perkhidmatan di sebuah hospital itu.

Mac lalu, beliau sekali lagi memohon kepada NUS – dan menerima berita gembira itu awal bulan ini. NUS sebelum ini menyatakan dalam menerima permohonan memasuki sekolah perubatannya, ia turut menilai ciri-ciri seperti keihsanan, empati dan kebolehan berhubung dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang.

Kali ini, beliau turut diterima Universiti Perubatan Antarabangsa di Malaysia dan sebuah sekolah perubatan di Ireland.

“Pengalaman yang saya raih semasa menunggu diterima membuat saya yakin saya boleh membuat perubahan pada kehidupan pesakit. Ia membawa saya lebih dekat kepada dunia perubatan,” kata Encik Mirza.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *