Majlis Ugama Islam (Muis) telah mengagihkan wakaf berjumlah $2,793,035 di Masjid Al Mawaddah di Sengkang semalam.
Ketua Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Maricar, dan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, telah merasmikan majlis pengagihan wakaf kepada masjid, madrasah, pertubuhan Islam dan golongan yang memerlukan.
Melahirkan rasa syukur, Haji Abdul Razak berkata agihan itu telah meningkat berbanding $1.13 juta sedekad lalu.
“Berteraskan aspirasi dan sokongan masyarakat Islam, pulangan daripada aset wakaf telah menghasilkan lonjakan yang amat positif.
“Alhamdulillah, tahun ini kita berupaya mengagihkan pulangan aset wakaf tiga kali ganda melebihi pengagihan sedekad yang lalu,” katanya.
Beliau mengajak masyarakat meneruskan legasi dan warisan kedermawanan yang dilakukan pewakif perintis.
“Masyarakat Islam harus mengambil iktibar mengenang bakti dan wawasan para wakif perintis kita yang telah mewakafkan harta mereka…
“Masyarakat hari ini masih berpeluang meraih semangat amal jariah yang sama, dengan menyemarakkan sifat dermawan kita,” kata beliau.
Sebanyak 34 masjid menerima wakaf bagi kerja-kerja operasi, pentadbiran dan pengurusan, termasuk kerja-kerja peningkatan dan pembaikan.
Selain itu, 26 pertubuhan seperti Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), Rumah Kanak-Kanak Pertapis, Casa Raudha, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Persatuan Kebajikan Muslim Singapura turut menerima wakaf bagi membiayai aktiviti mereka dalam program sosial, penjagaan kesihatan dan pendidikan Islam.
Kesemua enam madrasah sepenuh masa juga menerima wakaf daripada Wakaf Ilmu dan wakaf lain.
Ini adalah pengagihan kedua bagi Wakaf Ilmu sejak pelancarannya pada 2012 – pelaburan yang dibuat dari Januari 2014 hingga Disember 2014.
Ustaz Jazair Jumat, Ketua Dakwah dan Islah Masjid Kampung Siglap, berkata wang daripada wakaf itu dapat membantu pembangunan program Al-Quran di masjidnya.
“Di Masjid Kampung Siglap, kami mempunyai Darul Quran Singapura dan insya-Allah kami akan memanfaatkan semaksimum mungkin program-program pembangunan Al-Quran dan pembelajaran Al-Quran,” katanya.
Presiden 4PM, Encik Izzuddin Taherally, pula berkata dengan wang wakaf yang diterima, ia dapat membantu persatuannya mengajak anak-anak muda menyertai program-program kemasyarakatan yang dianjurkannya.
“Kami akan mencapai tujuan itu dengan mengadakan programprogram seperti projek Roda Roda Ramadan, Remaja Resilien dan Frenz bagi membantu golongan belia,” ujar beliau.
Source: http://beritaharian.sg