‘Superwoman’ Tidak Wujud

Wanita tetap perlukan sokongan semua orang di sekitarnya dan boleh lakukan lebih lagi untuk majukan masyarakat bersama kaum lelaki, kata Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Cik Maznah Masop

SOALAN (S): Apakah trend mengenai wanita Melayu/Islam yang anda lihat hari ini?

JAWAPAN (J): Wanita hari ini lebih berpendidikan, lebih ramai bekerja serta lebih lantang dan berani meluahkan pendapat mereka, lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial.

Mereka tidak lagi hanya membincangkan peranan mereka sebagai ibu dan isteri, bahkan sebagai anggota masyarakat. Mereka bercakap tentang budaya, kepercayaan mereka, isu tentang hijab, misalnya, perkembangan semasa dan dasar pemerintah.

Ini trend positif tetapi kami juga berhati-hati. Ada cara untuk meluahkan pandangan secara objektif untuk memastikan apa yang kita luahkan boleh dikaitkan dengan orang lain, bukan kita syok sendiri sahaja.

S: Apa isu wanita Melayu/Islam yang menjadi keprihatinan anda?

J: Saya prihatin mengenai wanita, yang dalam tekanan kehidupan hari ini, hilang arah, matlamat dan nilai pegangan hingga boleh menjejas tingkah laku moral mereka.

Apabila ini berlaku, ia boleh mendatangkan kesan ke atas anak-anak mereka yang mungkin hilang panduan atau menjejas hubungan suami isteri.

Contohnya, dahulu kita dengar tentang suami mempunyai hubungan sulit. Sekarang, kita dengar tentang wanita juga terlibat dalam hubungan sulit. Ada hamil dengan anak bukan daripada suami mereka. Secara anekdotal ini sedang berlaku.

S: Apa pendapat anda tentang wanita berpendidikan yang menjadi suri rumah?

J: Saya memahami keperluan duduk di rumah selama beberapa tahun, tetapi saya tidak pasti apakah ia perlu berlarutan.

Jika seseorang dianugerahkan bakat, saya fikir ia satu pembaziran jika beliau tidak keluar bekerja untuk menyumbang kepada masyarakat.

Ini pendapat peribadi saya, mungkin ada tidak setuju.

Sudah tentu ada wanita juga menghadapi isu apabila keluar bekerja seperti isu penjagaan anak mereka. Tetapi harap-harap mereka boleh huraikan isu itu dan mendapat sokongan keluarga.

Mereka juga mempunyai sokongan struktur dengan tersedianya pusat jagaan kanak-kanak atau pusat jagaan pelajar.

Jika kita jelas bahawa peranan wanita lebih daripada berada di rumah sahaja, kita boleh lakukan lebih lagi untuk memajukan masyarakat kita bersama kaum lelaki.

S: Apa pendapat anda tentang peranan suami dan bapa dalam konteks kehidupan hari ini di mana wanita juga turut keluar bekerja?

J: Kaum lelaki perlu mengubah pemikiran mereka dan sedar bahawa wanita berperanan penting, bukan sahaja di rumah, bahkan dalam masyarakat.

Mereka perlu lebih proaktif dan menyokong isteri mereka yang berpendidikan untuk menyumbang kepada masyarakat.

Perubahan minda ini harus ditangani sekarang. Ini kerana wanita akan menghadapi lebih banyak cabaran sedang penduduk menua.

Wanita akan memainkan peranan tambahan menjaga orang tua, selain perlu mengimbangi kerjaya dan menjaga anak-anak.

Lelaki mesti mengubah pemikiran mereka dan turut proaktif memainkan peranan juga.

S: Apakah pendapat suami anda tentang jawatan anda sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif) sebuah pertubuhan untuk wanita?

J: Isunya bukan saya menjadi CEO. Isunya ialah saya menyumbang secara aktif kepada masyarakat. Perkara ini kami persetujui sebelum kami berumah tangga.

Beliau tahu ini laluan kerjaya yang saya pilih dan beliau menghormatinya.

S: Bagaimanakah anda mengimbangi kerjaya dan keluarga?

J: Saya mempunyai sistem sokongan baik di rumah, baik daripada suami mahupun ibu bapa saya.

Satu episod mencabar bagi saya ialah apabila saya perlu menjaga ibu bapa saya yang sakit. Ayah saya, sebelum beliau meninggal dunia, menghidap barah dan ibu saya telah menjalani pembedahan penggantian pinggul.

Saya bersyukur kerana turut mempunyai sokongan kukuh daripada adik-beradik saya.

Di tempat kerja saya mempunyai majikan dan pekerja yang memahami keadaan saya dan membolehkan saya bekerja secara fleksibel. Saya juga mempunyai seorang pembantu rumah yang banyak membantu.

‘Superwoman’ tidak wujud dalam dunia ini. Seorang wanita perlu sokongan semua orang di sekitarnya.


BIODATA

NAMA: Maznah Masop

USIA: 44 tahun (Julai ini)

KERJAYA:

  • 2009 – sekarang: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
  • 2005 – 2009: Ketua, Pembangunan Dana, Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah
  • 1998 – 2003: Pengarah, Amni Management & Promotions Pte Ltd
  • 1994 – 1998: Eksekutif, Perdaus

KELUARGA:

  • Dua anak perempuan berusia 17 tahun dan 15 tahun
  • Suami jurutera di sebuah syarikat berbilang negara

PENDIDIKAN:

  • Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi), Universiti Nasional Singapura (NUS) 1993
  • Diploma Undang-Undang Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1998

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *