Dana Harun Ghani Kurangkan Beban Keluarga Penagih

Allahyarham Harun Abdul Ghani telah lama pergi, tetapi semangat juang tetap ‘menyala’ dalam sanubari anaknya, Hajah Haslinda Putri Harun. Selaku Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), Hajah Haslinda berkongsi pahit maung membantu keluarga penagih bersama SAINI SALLEH ([email protected]) baru-baru ini. Usaha Haslinda Putri Harun beri anak-anak penagih peluang capai kejayaan dengan bantuan kewangan

Soalan (S): Masyarakat melihat anda sebagai anak mantan Setiausaha Politik Ehwal Dalam Negeri, Allahyarham Harun Abdul Ghani, yang lebih dikenali sebagai pembasmi dadah. Bagaimana anda lihat diri anda apabila anda ‘memakai kasut’ beliau?

Jawapan (J): Ayah bukanlah pejuang pembasmi dadah, tetapi lebih kepada pejuang yang membantu memulihkan penagih.

Saya saksikan sendiri beliau turun padang menarik masyarakat supaya sama-sama membantu dalam kerja memulihkan penagih, di samping memberi sokongan kepada keluarga mereka.

Saya hanyalah anak yang mewarisi semangat, minda dan jiwa ayah. Perjuangannya merangsang saya, semangatnya terus membara dalam jiwa saya dan mindanya mendidik saya erti bahaya dadah dan musibah yang dibawanya.

Namun, cita rasa ayah kepada kasut amat berbeza dengan saya. Saiz kita pun berbeza. Pokoknya, saya tidak pernah terfikir untuk ‘memakai kasut’ ayah atau kasut sesiapa.

Saya akan terus gigih berusaha mencapai hasrat ayah, khususnya dalam memulihkan keluarga golongan penagih. Tetapi, ini tidak bermakna saya akan melakukan kerja-kerja yang sama.

Ayah melaksanakannya kerana memikul tanggungjawab dan amanah politik. Saya lakukan semua ini di peringkat masyarakat dan sosial. Saya yakin kita mampu membantu keluarga golongan penagih tanpa perlu pemerintah melantik seseorang melaksanakannya.

S: Anda telah berkhidmat sebagai setiausaha kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) sejak ia ditubuhkan. Bolehkah anda kongsi masalah yang dihadapi dalam memastikan kelangsungan HGEF?

J: Satu-satunya masalah yang saya hadapi ialah kesempitan masa. Masakan tidak, bila saya hendak melelapkan mata, saya selalu memikirkan cara melaksanakan banyak perkara baik, tetapi terlalu sedikit masa untuk melakukannya. Saya ibu sepenuh masa dan utamakan keluarga.

Justeru, saya amat berhati-hati apabila melaksanakan sesuatu projek. Yang penting, saya rasa lega bila melihat impak maksimum seperti mengagihkan kertas peperiksaan PSLE tahun-tahun sebelumnya, mengendalikan bengkel mengurangkan tekanan dan ceramah motivasi kepada anak-anak penagih.

S: HGEF telah mengagihkan dermasiswa kepada anak-anak penagih sejak 2006, tetapi tidak ramai yang sedar daripada mana HGEF mendapat dana. Boleh anda jelaskan?

J: Kami pernah hanya sekali menganjurkan projek mencari dana secara besar-besaran selepas ayah meninggal pada 2005.

Tujuannya adalah mengagihkan apa yang telah dipungut sebagai penghormatan kepada usaha ayah. Kami tidak mempunyai rancangan jangka panjang bagi HGEF.

Namun, kami teruskan juga dan sepanjang sembilan tahun lalu, kami telah mengagihkan $405,420 kepada lebih 1,000 anak penagih peringkat sekolah rendah, menengah, politeknik dan universiti bagi mendorong mereka menamatkan persekolahan.

Sumbangan datang daripada orang ramai, termasuk kenalan laman sosial Facebook.

S: Adakah anda mempunyai rancangan menjalankan projek pungutan dana demi memastikan HGEF terus dapat mengagihkan dermasiswa?

J: Ia banyak bergantung kepada bagaimana masyarakat menilai usaha kami. Jika ia memberi manfaat, kami akan teruskan dan berharap masyarakat akan menyokong, khususnya dari segi kewangan.

Kami hanya membantu anak-anak dan keluarga penagih, bukan penagih atau pesalah dadah. Menerusi pengagihan dermasiswa HGEF setiap tahun, kami pasti anak-anak penagih tetap berada di bangku sekolah.

Meskipun keputusan peperiksaan mereka tidaklah begitu baik, kami tetap memberi sokongan agar mereka tidak tercicir.

Kami percaya hanya menerusi pendidikan mereka dapat membina semula kehidupan dan keluar daripada lingkaran musibah yang membelenggu keluarga.

Justeru, jika anda mendapati apa yang dilakukan HGEF selama ini membawa kebaikan, kami harap anda akan beri sokongan kewangan. Cek boleh diberikan atas nama HGEF dan kirimkan ke alamat Yayasan Mendaki di Kee Sun Avenue.

S: Sesetengah pihak merasakan HGEF harus ‘memberi joran memancing ikan’ dan bukannya wang tunai kepada anak-anak dan keluarga penagih. Apa komen anda?

J: Tugas saya adalah memastikan anak-anak penagih tamat persekolahan asas dan HGEF mempunyai dana melaksanakannya.

Dengan itu, proses persekolahan mereka tidak terbantut, sekali gus mengelakkan mereka terjerumus ke dalam kancah dadah.

Bagi kami, ‘joran memancing ikan’ yang dimaksudkan itu lebih sesuai diberikan kepada ibu bapa, bukannya anak-anak. Kami tidak boleh memberi joran kepada anak-anak dan biarkan mereka kelaparan hingga kail mengena.

Menerusi pengalaman saya menyertai sesi bertemu penagih yang ayah kendalikan dalam 1990-an dan pertemuan dengan banyak keluarga penagih, saya dapati mereka perlukan wang tunai.

Justeru, kami hulurkan bantuan ketika mereka hadapi waktu kesempitan. Sebenarnya, sumbangan yang HGEF hulurkan kecil dan memberi mereka pendidikan ialah ‘joran memancing ikan’ yang dikatakan itu.

S: Apakah terdapat perubahan dalam kalangan bekas penerima dermasiswa HGEH dari segi pendidikan, kehidupan sosial dan kerentanan kembali terjerumus dalam kancah dadah?

J: Alhamdulillah, saya dapat lihat sendiri perubahan, lebih-lebih lagi mereka yang memasuki alam remaja dan dewasa.

Mereka tidak mahu mengikut jejak langkah ibu bapa dan mahu berubah. Bagi mereka, pendidikan yang lebih baik ialah kunci menikmati hidup lebih makmur dan memudahkan mobiliti sosial.

Memang menjadi harapan HGEF untuk melihat pusingan lingkaran musibah berhenti di peringkat ibu bapa. Agak mustahil mengubah kehidupan golongan penagih secara drastik, tetapi kami kira jika sudah begitu, baik kami bantu anak-anak mereka keluar daripada lingkaran musibah. Bagi kami inilah erti perubahan.

S: Akhir kalam, boleh anda kongsi saat paling gembira dan sedih sepanjang membantu keluarga dan anak-anak penagih?

J: Saya paling gembira jika anak-anak penagih tamat persekolahan, mengenggam ijazah dan mendapat pekerjaan yang stabil.

Malah, saya lebih gembira bila mendengar bekas penerima dermasiswa HGEF tamat pendidikan asas lalu berjumpa saya untuk mendapatkan dana melanjutkan pelajaran! Sijil, diploma atau ijazah yang diperolehi begitu berharga kerana mereka tidak ada perkara lain yang boleh dibanggakan.

Saya datang daripada keluarga yang diulit kasih sayang. Justeru, saya amat terkesan melihat ibu bapa penagih tidak dapat sama-sama meraikan kejayaan anak dalam upacara konvokesyen, hari jadi dan menjadi raja sehari.

Saya cuma bimbang anak-anak ini akan hilang kepercayaan kepada ibu bapa dalam mengharungi kehidupan dipalit stigma ibu bapa meringkuk dalam penjara.

Saya akan teruskan perjuangan dan amanah ayah – membantu keluarga dan anak-anak penagih.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *