Belia Bangun Aplikasi Bantu Jemaah Elak Masjid Sesak

Aplikasi bimbit yang membolehkan pengguna menilai tahap kesesakan sebuah masjid sebelum memilih tempat bagi menunaikan sembahyang Jumaat.

Itulah idea daripada sekumpulan belia yang membangunkan prototaip atau versi awal aplikasi tersebut dalam tempoh 24 jam menerusi satu peraduan Cabaran Teknologi Masjid (MTC) yang berakhir semalam.

Kumpulan yang merangkul tempat pertama dalam peraduan itu terdiri daripada tiga mahasiswa – Encik Muhammad Hadziq Sulaiman, 23 tahun, dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU); Encik Tengku Muhammad Hafidzuddin, 22 tahun, dari Universiti Nasional Singapura (NUS); dan Encik Muhammad Syafiq Hanafee, dari Institut Teknologi Singapura (SIT).

“Kami berharap aplikasi itu akan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan di masjid sewaktu solat Jumaat,” ujar Encik Hafidzuddin, seorang mahasiswa sistem maklumat.

Menerusi aplikasi yang dinamakan Go Mosque SG itu, orang ramai juga boleh ‘check-in’ atau daftar masuk ke masjid bagi mendapat ‘markah’ dengan lebih banyak markah diberikan bagi solat pada awal waktu.

Ini bertujuan menggalakkan orang ramai ke masjid dan mendirikan sembahyang secara berjemaah, kata Encik Syafik pula.

Kumpulannya merancang melancarkan aplikasi itu kepada orang ramai dalam masa setahun.

Acara MTC dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Kelab Mendaki dengan kerjasama IslamicEvents.SG, EchoedLabs, Majulah Community, 12 Geeks, dan Kelompok Masjid Tengah Utara.

Peraduan itu diadakan di Masjid An-Nahdhah.

Seorang penganjur, Cik Rufaidah Mohd Kamal daripada EchoedLabs berkata:

“Menerusi acara ini, kami menggalakkan belia memikir tentang cabaran yang dihadapi masyarakat dan mencari huraian baginya.”

Seramai 15 belia dalam empat pasukan menyertai peraduan itu.

Selain idea aplikasi Go Mosque SG, idea lain termasuk menggunakan ‘crowdfunding’ (membiayai sesuatu usaha secara beramai-ramai) bagi membantu masjid mengumpul dana, memadankan sukarelawan dengan projek kemasyarakatan serta projek keusahawanan sosial bagi membolehkan suri rumah mengambil tempahan makanan daripada jemaah di masjid.

Turut hadir dalam acara penyampaian hadiah peraduan itu semalam ialah Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI), Dr Yaacob Ibrahim, yang berkata inisiatif itu sejajar dengan usaha negara menjadi Negara Bijak.

“Pemerintah boleh sediakan prasarana Negara Bijak tetapi apa yang perlu dibangunkan ialah aplikasi.

“Ini tidak boleh datang daripada pemerintah tetapi daripada mereka yang berminat dan mampu menghuraikan satu cabaran,” ujar Dr Yaacob semasa ditemui media di acara itu.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *