Hasil prestasi cemerlang, seorang pegawai kadet Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Melayu menerima Pedang Kehormatan.
Ia diberikan kepada pegawai-pegawai kadet yang menunjukkan prestasi terbaik.
Ahmad Arif Ibrahim, 22 tahun, juga menerima anugerah Bayonet Emas yang berprestij, satu anugerah yang diberikan kepada 10 peratus kadet terbaik dalam satu-satu kohort.
Beliau juga boleh berbangga kerana dinobatkan sebagai kadet terbaik dalam latihan fizikal.
Semalam, Ahmad Arif menjadi antara 568 pegawai kadet yang ditauliahkan sebagai pegawai SAF selepas menjalani latihan selama 38 minggu dalam Kursus Pegawai Kadet.
Selepas tamat latihan, mereka akan menyandang jawatan pegawai komand, pegawai pemberi arahan dan pegawai staf di unit-unit SAF.
Berucap di majlis tamat kursus SAF, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menggesa para pegawai supaya meneruskan usaha generasi anggota perkhidmatan yang terdahulu.
Sementara itu, meskipun diiktiraf sebagai antara pegawai kadet terbaik dalam kohortnya, Arif mengakui beliau mulanya sukar menyesuaikan diri semasa beberapa hari pertama menjalani kursus tersebut.
Ahmad Arif Ibrahim. (Gambar: Channel NewsAsia)
“Semasa saya sertai BMT, peralihan daripada gaya hidup orang awam kepada gaya hidup seorang askar agak perlahan, dan lebih mudah untuk saya menyesuaikan diri.
“Tetapi di OCS, mereka mahu kami bukan menjadi orang awam, tetapi menjadi seorang askar, menjadi seorang pemimpin,” ujarnya.
Untuk mengongsi pengalaman para pegawai kadet, edisi kedua buku ‘One of A Kind’ juga dilancarkan semalam. Edisi pertama diterbitkan pada 2007.
Source: http://berita.mediacorp.sg