Mampu Gengam Kejayaan Walau Diasak Cabaran Hidup

Ibunya bertungkus-lumus membesarkan beliau serta adik lelaki sebagai ibu dan pencari nafkah tunggal keluarga sejak mereka kecil lagi.

Oleh sebab itu, Encik Muhammad Jazli Jumain percaya kini sudah tiba masa ibunya, Cik Jamilah Ali, 59 tahun, berhenti kerja dan berehat, memandangkan beliau lulus dengan cemerlang dari universiti dan berjaya mendapatkan pekerjaan baik dalam sektor awam.

“Ibu bekerja sambilan di restoran makanan segera dan membawa pulang paling banyak $800 sebulan. Sebelum ini, beliau pernah melakukan pelbagai kerja lain, termasuk kerja pembersihan, pekerja kolam renang dan pekerja kilang.

“Sekarang, saya nak lakukan apa yang saya boleh demi mengurangkan beban ibu supaya beliau dapat bersara dengan selesa,” kata anak sulung itu, yang tinggal di flat tiga bilik dalam kawasan Yishun.

Adiknya yang berusia 23 tahun mula bekerja sebagai penolong jurutera awal tahun ini. Ibu bapa mereka bercerai semasa beliau kecil dan bapanya meninggal dunia beberapa bulan lalu, kata Encik Muhammad Jazli.

Encik Muhammad Jazli, 25 tahun, antara lebih 8,600 lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang akan menerima ijazah dalam konvokesyen yang berlangsung hari ini hingga Isnin depan.

Lulusan Politeknik Singapura itu akan menerima ijazah kepujian kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (EEE) dalam majlis konvokesyen fakultinya berlangsung lusa.

Pencapaiannya itu bukan sahaja satu kebanggaan bagi dirinya dan hasil kerja keras sendiri, malah beliau percaya ia lebih membanggakan ibunya serta ibu dan bapa saudaranya yang turut memainkan peranan menjaganya sejak kecil, khususnya apabila ibu keluar bekerja.

Beliau juga bersyukur menerima Biasiswa Nanyang daripada NTU, yang antara lain membiayai yuran pengajian, kos penginapan di hostel NTU serta memberinya elaun dan geran program pertukaran di luar negara.

“Dengan bantuan biasiswa ini, saya tidak perlu ambil kerja sambilan seperti yang saya lakukan semasa di politeknik dan dapat memberi tumpuan penuh kepada pelajaran.

“Biasiswa ini juga memberi saya peluang sama dengan pelajar lain walaupun keadaan kewangan keluarga tidak mewah. Contohnya, dengan biasiswa in juga, saya dapat ikuti program pertukaran ke Universiti Sains dan Teknologi Hongkong pada 2013.

“Saya melakukan yang terbaik dalam pelajaran dan harap saya membuktikan bahawa sumbangan para penaja dan NTU kepada saya menerusi biasiswa ini berbaloi,” ujarnya.

Encik Muhammad Jazli yang akan mula bekerja sebagai jurutera projek eksekutif di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bulan depan juga rasa senang dapat memanfaatkan pengetahuan kejuruteraan yang diperolehi menerusi empat tahun di NTU apabila mula bekerja nanti, selain menyumbang kepada masyarakat menerusi kerjanya.

Presiden Tony Tan Keng Yam, yang juga Canselor NTU, akan merasmikan majlis konvokesyen pertama NTU tahun ini hari ini.

Majlis itu akan dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Heng Swee Keat.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *