10 Anak Melayu/Islam Dapat Kepujian Kelas Pertama Dari NTU Tahun Ini

Sekitar 10 anak Melayu/Islam dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menerima ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama tahun ini. Demikian didedahkan NTU hari ini.

Empat daripada mereka yang ditemui BERITAMediaCorp, memperoleh ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan kejuruteraan, sosiologi dan psikologi.

Lebih menarik lagi, di kalangan sekitar 10 penerima menerima ijazah berprestij itu ialah sepasang adik-beradik perempuan – iaitu Nurul Dina Amalina Abdulkahar dan Nurul Mira Fatin Abdulkahar.

(Dina Amalina Abdulkahar dan adiknya, Nurul Mira Fatin Abdulkahar. Gambar: BERITAMediaCorp) 

Ini kali pertama sepasang adik beradik Melayu menerima ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam tahun yang sama, dan sesuatu yang jarang sekali didengar.

Kedua-dua beradik itu mendapat ijazah masing-masing dalam majlis konvokesyen NTU siang tadi.

Semasa diwawancara BERITAMediaCorp, para pelajar cemerlang itu berkata, sokongan padu dari pihak keluarga merupakan tunggak di sebalik kejayaan mereka.

Nurul Dina Amalina, 25 tahun, yang menerima ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Sosiologi berkata: “Sumber inspirasi utama adalah ibu bapa saya. Ayah adalah seorang yang gigih berusaha dan tidak senang berputus asa. Ibu pula selalu bersikap positif apabila beliau berdepan dengan cabaran dalam kehidupan.”

Bagi adiknya Nurul Mira Fatin yang berusia 22 tahun pula, beliau menerima ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan Psikologi.

Beliau berkata: “Bidang psikologi ini telah mendorong saya untuk mencari peluang yang membolehkan saya mendekati masyarakat. Baru-baru ini, saya baru pulang dari China, di mana saya (menjadi) sukarelawan. Di situ, saya tolong mengajar kanak-kanak bahasa Inggeris dan bantu mengecat sekolah mereka.”

KEPUJIAN KELAS PERTAMA KEJURUTERAAN KOMPUTER

Seorang lagi anak Melayu yang menerima ijazah Kepujian Kelas Pertama, ialah Muhd Nadzir Azmi, 26 tahun. Muhd Nadzir mendapat ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Komputer.

(Muhd Nadzir Azmi. Gambar: BERITAMediaCorp)

NTU menyifatkan pelajar bijak itu sebagai seorang individu yang dapat menghuraikan masalah secara kreatif. Muhd Nadzir mencipta sebuah projek yang diberi nama ‘Virtual Piano’ semasa menjalani tahun terakhirnya di NTU.

Beliau menjelaskan: “Projek akhir tahun saya ialah menghasilkan sebuah ‘virtual piano’ (piano maya) dengan menggunakan sekeping kertas dan telefon bimbit. Ia memberikan satu alternatif untuk memain piano dengan lebih innovatif lagi. Saya rasa bidang ini, bukan sahaja diperlukan di syarikat-syarikat permainan, sofwe tetapi amat penting bagi sektor awam juga.”

Sebenarnya, beliau pernah gagal untuk memasuki maktab rendah selepas peperiksaan GCE ‘O’.

Namun dengan semangat yang berkobar-kobar, anak kepada seorang pemandu teksi dan suri rumah dari keluarga 3 beradik ini, tetap meneruskan pengajian GCE ‘A’ di pusat Pra-U hingga dapat ke menara gading.

Beliau kini sudah pun mendapat pekerjaan sebagai konsultan aplikasi dengan CPF.

KEPUJIAN KELAS PERTAMA KEJURUTERAAN ELEKTRIKAL & ELEKTRONIK

Bagi Muhd Jazli Jumain pula, beliau boleh berbangga dianugerahkan ijazah Kepujian Kelas Pertama, dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.

Beliau yang memasuki NTU selepas lulus dari politeknik, bagaimanapun mengecap kecemerlangan menerusi laluan yang lebih mencabar. Beliau berasal dari keluarga ibu tunggal.

(Muhd Jazli Jumain. Gambar: BERITAMediaCorp)

Muhd Jazli berkongsi dengan BERITAMediaCorp, beliau menanamkan iltizam pada hari pertama beliau menjejakkan kakinya di NTU.

“Sejak hari pertama, saya ingin buat yang terbaik dalam pelajaran saya. Selain itu, saya juga lihat ibu saya yang mengalami kesukaran untuk bekerja. Jadi saya ingin membantunya apabila dia bersara nanti,” jelas Muhd Jazli lagi dengan penuh semangat.

Yang pasti, bagi kempat-empat anak muda yang cemerlang itu, mereka berbekalkan sikap disiplin tanpa mudah berputus asa sebagai antara resipi kejayaan mereka.

PROSPEK PEKERJAAN BAGI GRADUAN NTU

Dalam pada itu, NTU menyatakan 7 daripada 10 pelajarnya yang tamat pengajian tahun ini, sudahpun mendapat pekerjaan sebelum mereka menerima ijazah masing-masing.

Demikian menurut tinjauan awal yang dijalankan NTU awal bulan ini.

5,000 pelajar ditinjau mengenai prospek pekerjaan mereka dan 70% menyatakan, mereka sudahpun mendapat kerja.

Perangkaan tersebut lebih tinggi berbanding perangkaan 66% yang dicatatkan tahun lalu bagi tinjauan serupa.

(Gambar: Channel NewsAsia) 

Lebih 8,600 graduan bakal menerima ijazah mereka dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama seminggu mulai hari ini.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *