Fatimah Mohsin: Dulu Tomboi, Kini Mak Andam Ikonik

Soalan (S): Bolehkah anda singkap pengalaman anda sebelum menceburi perniagaan penyedia khidmat pengantin?

Jawapan (J): Saya datang daripada keluarga lapan anak, dua perempuan dan enam lelaki. Jadi, saya macam tomboi dan meminati bola sepak. Oleh itu bagi program latihan amali tahun akhir pengajian, saya bekerja untuk jenama sukan Puma.

Saya bertanggungjawab mengatur dan mereka letak visual serta paparan produk untuk mempromosikannya. Syarikat itu juga menghantar saya mengikuti kursus mereka bentuk grafik. Kemudian saya menghasilkan risalah dan poster.

Saya tidak pandai bermain bola sepak tetapi saya amat menyokong adik-beradik lelaki saya. Malah, saya menjadi pengurus pasukan adik-adik saya untuk menyertai pertandingan bola sepak jalanan.

Sekarang, anak perempuan saya pula minat bola sepak.

S: Sebagai seorang lasak, tomboi, dan meminati sukan, bagaimana anda boleh beralih ke bidang lebih lembut ini?

J: Ramai yang bersekolah dengan saya pun terkejut, sebab di sekolah saya menyertai Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC) dan bola jaring.

Saya sendiri tidak pernah terlintas akan menjadi jurusolek kerana semasa kecil saya tidak suka pakai mekap. Hanya apabila berumur 18 tahun di LaSalle, baru saya mula pandai melawa.

Yang mendorong saya mengikuti kursus solekan ialah semasa membuat penyampaian pada tahun akhir di sana.

Ketika itu, kami ketengahkan baju kami dan peragawati datang bersama jurusolek dan pereka fesyen rambut yang ditaja. Imej ketika itu agak futuristik. Bagi saya ia amat menarik. Tanpa solekan sesuai yang melengkapi seluruh penampilan, sesuatu baju itu tidak akan menyerlah.

Semasa itulah saya cakap, ‘Best eh… jadi jurusolek artis.” Jadi, saya bermula dengan bidang solekan.

S: Solekan, rekaan grafik, mereka letak visual atau paparan produk dan fesyen. Apa sebenarnya yang anda minati?

J: Selama ini saya memang cenderung pada bidang artistik. Saya suka seni dan apa jua yang berkaitan dengannya. Ia ilmu tambahan apabila saya ada syarikat sendiri kerana saya ada latar belakang bidang perdagangan fesyen. Ini walaupun saya tidak boleh menjahit.

Semasa di sekolah, saya ambil mata pelajaran Fesyen dan Fabrik tetapi saya selalu ‘bergaduh’ dengan mesin jahit. Lebih baik jahit tangan.

Semua pengalaman ini membantu saya. Semasa baru buka syarikat, saya jahit manik sendiri. Aksesorinya saya buat sendiri. Ketika itu, saya ada seorang pekerja sahaja. Sekarang tujuh pekerja sepenuh masa.

Dulu saya menguruskan segala-galanya sendiri seperti promosi di majalah dan kerja seni untuk iklan.

Saya percaya untuk melakukan sesuatu, kita mesti ada rasa cinta terhadapnya dan tahu selok-belok perniagaan itu dari A sampai Z. Tidak guna melabur dalam sesuatu perniagaan jika anda tidak tahu mengenainya.

S: Apa nasihat anda?

J: Kita tidak boleh malas. Kita harus sentiasa pertingkat diri dan beraspirasi.

Saya percaya bahawa kita perlu memberi yang terbaik dalam segala-galanya, walaupun macam mana sekalipun bos kita dan walau berapa sekalipun gaji kita. Saya akan berikan komitmen 110 peratus dan dalam soal masa, saya tidak berkira.

Generasi muda sekarang sejurus sahaja bergelar siswazah, gajinya mereka nak sekian… sekian. Saya pula percaya perlunya kerja keras kerana pada akhirnya, bukan kelulusan yang menjadi keutamaan tetapi kemahiran dan sikap.

Sekarang ini pelajar fesyen tak nak jadi tukang jahit. Mereka hendak jadi pereka fesyen, nak glamor, dapat berbual dengan klien tetapi ini tidak akan berlaku. Selama 17 tahun baru saya berada di kedudukan saya sekarang. Banyak kerja keras dan keazaman.

S: Dalam kesibukan anda mengurus tugas, bagaimana dengan masa bersama keluarga?

J: Yang penting adalah pengurusan masa. Saya mulakan hari seawal 6 atau 7 pagi sehingga 12 tengah malam atau 1 pagi. Saya cuba luangkan masa pada sebelah pagi bersama anak-anak. Apabila kakak (anak sulung) pergi sekolah, saya memastikan segalanya terurus dan seberapa daya berusaha menghantar yang kecil ke sekolah setiap hari.

Itulah sedikit masa yang saya ada bersama mereka kemudian saya selesaikan tugas saya.

Apabila saya ada masa luang, saya pastikan yang saya berada di rumah bersama anak-anak… menonton wayang ke, pergi urut ke, bawa mereka ke Batam, ke tempat bapak mereka kerja (di Malaysia) ke atau apa jua. Kadangkala apabila saya ada dua hari sekalipun saya sanggup ke luar negara kerana apabila saya berada di Singapura, saya selalu diperlukan di sini.

S: Adakah ayah pencetus minat dan memberikan inspirasi untuk menceburi bidang ini?

J: Semasa kecil apabila orang tanya saya nak jadi apa, saya kata saya nak jadi usahawan. Tapi buat apa saya tidak tahu. Yang saya tahu, saya nak jadi usahawan sebab ayah seorang usahawan. Tetapi apabila realiti mencengkam selepas sekolah, ‘Eh… aku nak jadi usahawan wanita? Ingat senang sangat ke apa’?

Selepas itu, saya tidak lagi terfikir mengenainya tetapi saya tetap suka melakukan perdagangan visual dan alhamdulillah, saya dapat kerja yang saya mahukan. Sehinggalah secara perlahan-lahan kerjaya saya berubah.

S: Reaksi rakan yang mengenali diri anda sebagai seorang yang lasak dan tomboi.

J: Betul ke ini Fatimah? Bagi mereka untuk melihat perubahan itu, ia merupakan satu kejutan. Dulu pun tangan saya selalu menggeletar dan basah jadi macam mana nak jadi jurusolek artis?

Saya sendiri tak sangka yang saya akan menceburi perniagaan perkahwinan kerana semasa menyolek pengantin buat pertama kali, saya beritahu majikan yang saya hanya boleh mekap dan saya tidak boleh sentiasa berada di majlis kerana saya sendiri pun amat jarang dan sudah begitu lama tidak menghadiri majlis perkahwinan.

Memang kekok nak ke majlis kahwin orang Melayu. Pada masa itu umur saya 23 tahun dan orang kata, ‘Eh mudanya mak andam ini. Boleh ke buat?’ Pada awalnya memang pernah saya lalui orang tidak percayakan saya. Orang kata, ‘Apa yang dia tahu’?

Disebabkan itu sekarang ini apabila saya mencari kakitangan, saya tidak melihat pada usia mereka. Saya percaya anak muda jika mereka meletakkan sepenuh hati dan jiwa dan bekerja bersungguh-sungguh, mereka malah boleh lebih baik daripada golongan yang berpengalaman.

S: Apakah pandangan anda tentang industri perkahwinan setempat khususnya orang Melayu?

Sekarang masyarakat Melayu lebih mewah. Kebanyakan mereka agak membazir. Bagi saya secara peribadi, memang ramai yang mampu. Mereka bekerja keras dan memegang jawatan baik dan mereka menjadikan majlis perkahwinan mereka sesuatu yang menjadi kenangan abadi.

Sekarang ini gaji $5,000 bagi anak muda sebelum kahwin adalah sesuatu yang normal. Tetapi maaf cakap terdapat juga sebahagian daripada masyarakat kita yang pendapatannya jauh lebih rendah tetapi mahu berbelanja besar untuk majlis perkahwinan mereka. Ini memudaratkan.

Kita dapat melihat mereka yang tidak boleh melangsaikannya. Nak itu nak ini, buat itu buat ini.

Dalam majlis kahwin, orang Melayu selalu jemput 1,000 orang. Bagi saya, itu satu pembaziran kerana saya telah terlibat dalam majlis perkahwinan di mana keluarga itu memang mampu tetapi mereka mengadakan majlis kecil sahaja.

Ia indah dan mesra dengan 200 undangan. Yang datang keluarga terdekat dan teman rapat.

Majlisnya kecil tetapi penuh bermakna…


BIODATA FATIMAH MOHSIN

Nama: Fatimah Mohsin

Usia: 39 tahun

Kerjaya: Pengarah, Fatimah Mohsin The Wedding Gallery di Singapura & Kuala Lumpur

Pendidikan: Diploma Perdagangan Fesyen dari Sekolah Fesyen Antarabangsa LaSalle; Diploma Seni Solekan Profesional dari Akademi Cosmoprof dan lain-lain.

Pencapaian: Rekaan Imej Terbaik Pesta Perdana 11 (tahun 2011), Rekaan Imej Terbaik Pesta Perdana 12 (2015) dan sebagainya.

Keluarga: Ayahnya, usahawan yang dikenali sebagai Raja Lelong tetapi kini sudah bersara. Beliau popular di pasar lama Geylang Serai dan bazar Ramadan pada era 70-an dan 80-an dengan menjual pelbagai barangan daripada linen ke permaidani.

Ibunya pula adalah suri rumah.

Cik Fatimah adalah anak ketiga dalam keluarga lapan beradik yang kebanyakannya lelaki kecuali beliau dan adik bongsunya.

Hasil perkongsian hidupnya dengan penasihat keselamatan dalam industri minyak dan gas, pasangan itu dikurniakan dua puteri berusia lima dan 11 tahun.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *