Dato’ Jalaluddin Hassan Bakal Bernikah Dengan Seorang Ibu Tunggal Anak Empat

Pelakon popular, Datuk Jalaluddin Hassan, merancang untuk menikahi seorang ibu tunggal selepas genap setahun pemergian isterinya, Datin Hasimah Mat Ehsan.

Hasimah meninggal dunia pada 5 November tahun lalu akibat komplikasi pembedahan jantung di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini.

Jalaluddin, 63, mengaku beliau kini berkawan dengan wanita empat anak berkenaan, yang dikenali menerusi laman sosial sejak Ramadan lalu.

“Kami berkenalan menerusi Facebook dan kali pertama saya menegurnya adalah pada Ramadan lalu apabila mengucapkan selamat berpuasa kepadanya.

“Hanya pada Aidilfitri baru kami ada peluang bertemu, pada sebuah acara rumah terbuka. Tak sangka, dia adalah adik kepada kawan saya,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis sidang media Teater Bahara Emas di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.

Teater terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bakal dipentaskan pada 19 hingga 22 Oktober ini.

Jalaluddin berkata, jiwa kental yang ada pada wanita yang hanya dikenali sebagai YR itu membuatkan hatinya terpikat, sekali gus mahu menjadikannya sebagai teman hidup.

“Saya kagum dengan semangatnya membesarkan anak-anak, selain menjaga ibunya yang kurang sihat,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai keadaan kesihatannya, pelakon berpengalaman yang juga seorang pengacara itu memberitahu, beliau kini semakin pulih.

“Bagaimanapun, saya kena lakukan fisioterapi sebab kaki masih lemah dan saya juga perlu menjaga makan,” kata Jalaluddin lagi.

Pada 2 Oktober lalu, Jalaluddin dilaporkan pengsan selepas menjadi tamu program bual bicara siaran TV AlHijrah, Assalamualaikum.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *