4 Anak Melayu/Islam Jadi Kohort Pertama Mahasiswa Di Sekolah Perubatan NTU

Empat anak Melayu/Islam bakal menjadi doktor perubatan ‘perintis’, setelah diterima masuk ke Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine).

Mereka boleh dianggap istimewa kerana menjadi perintis bagi doktor-doktor Melayu yang dihasilkan Sekolah LKCMedicine kendalian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Imperial College London.

Sehingga kini, para pelajar Melayu yang berjaya menjadi doktor, lulus dari fakulti perubatan NUS, ataupun universiti luar negara.

Namun Shafiqah Shahrin, Muhammad Fadzil Kamarudin, Bureau Nicolas Khairul dan A Johan Saiful Mizra membentuk kohort mahasiswa Melayu/Islam yang pertama untuk mengikuti pengajian perubatan di Sekolah LKCMedicine.

Mereka bukan sahaja mencatat keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan GCE ‘A’ , tetapi mereka juga berjaya mengharungi lapan sesi temuduga yang mencabar.

KOHORT PALING RAMAI

Empat mahasiswa Melayu/Islam itu boleh berbangga kerana dipilih setelah ‘bertarung’ dengan lebih 800 pemohon lain. Kesemuanya, 90 mahasiswa dipilih untuk kursus tersebut tahun ini.

Jumlah itu kenaikan 67% berbanding hanya 54 mahasiswa yang diterima masuk untuk kohort pertama LKCMedicine pada 2013.

Kohort mahasiswa pada tahun ini adalah yang paling ramai sejak Sekolah LKCMedicine ditubuhkan. Kini sekolah itu mempunyai 222 mahasiswa perubatan.

Hari ini (17 Ogos), kesemua mahasiswa baru Sekolah LKCMedicine menerima jubah putih yang sering dipakai para doktor, dalam satu upacara khas, sebagai simbol permulaan pengajian mereka.

Kohort ketiga mahasiswa perubatan NTU membaca perisytiharan pelajar perubatan baru. (Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

Siapakah anak-anak Melayu tersebut? Mari kita kenali lebih dekat empat mahasiswa Melayu/Islam yang boleh dikatakan menempa nama dalam sejarah Sekolah LKCMedicine.

Lebih menarik lagi, kesemua mereka datang daripada keluarga yang tidak mempunyai latar belakang perubatan.

Ini bermakna apabila tamat pengajian kelak, Shafiqah, Fadzil, Nicolas dan Johan akan menjadi yang pertama di kalangan anggota keluarga masing-masing, untuk berkhidmat dalam industri perubatan.

SHAFIQAH SATU-SATUNYA MAHASISWI MELAYU/ISLAM

(Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

Shafiqah Shahrin, 19 tahun merupakan lulusan dari Maktab Rendah Victoria.

Sejak kecil lagi, Shafiqah memang sudah berminat untuk membantu orang lain. Beliau semakin yakin terhadap minatnya selepas mengikuti “internship” selama sebulan di Hospital NUH awal tahun ini.

“Saya memang mengagumi doktor dan mendapat inspirasi daripada mereka melalui pengalaman ‘internship’ saya. Saya faham kerapian kerjaya itu namun saya rasa bahawa apa yang boleh mendorong saya ialah minat saya,” kata anak bongsu dalam tiga beradik itu.

Dan kini Shafiqah menjadi satu-satunya mahasiswi Melayu/Islam yang berjaya masuk ke Sekolah Perubatan NTU.

“Tiada kerjaya lain, selain dalam perubatan untuk saya dan saya rasa sangat bersyukur kerana pada akhirnya, saya diterima masuk ke dalam kursus yang saya mahukan.

“Sepanjang pengajian lima tahun ini, saya akan meluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan supaya dapat bantu masyarakat Melayu/Islam,” kata Shafiqah ketika dihubungi BERITAMediaCorp.

FADZIL: PENTING DIANJAKKAN BILANGAN DOKTOR MELAYU

(Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

Muhammad Fadzil Kamarudin, 22 tahun muncul sebagai salah seorang lulusan terbaik dari Maktab Rendah Pioneer.

Fadzil berasa terharu menjadi salah seorang mahasiswa perubatan Melayu yang pertama di NTU.

“Tidak ramai doktor Melayu di Singapura, nisbah doktor Melayu kepada pesakit Melayu adalah tidak sama,” kata Fadzil kepada BERITAMediaCorp.

Beliau menambah: “Saya rasa adalah penting untuk mempunyai doktor Melayu kerana mereka boleh memahami masyarakat Melayu dengan lebih baik, adat dan kepercayaan yang unik. Dan oleh itu, menyampaikan jagaan yang lebih baik kerana perubatan bukan tentang sains sahaja, tetapi juga mengenai hubungan antara pesakit dan doktor mereka.”

Pada tahun 2007, bapanya pulih daripada penyakit angin ahmar selepas menetap di hospital untuk satu bulan. Tempoh itulah yang mengukuhkan tekad Fadzil untuk menceburi bidang perubatan.

“Saya lihat tugas doktor dan jururawat setiap hari dan saya tertarik kepada pengorbanan dan dedikasi mereka terhadap tugas mereka. Hasil usaha mereka, bapa saya dapat sembuh sepenuhnya.

“Saya berharap satu hari nanti, saya akan dapat melakukan perubahan yang sama dalam kehidupan pesakit-pesakit saya yang akan datang, dan keluarga mereka,” ujar Fadzil.

“Saya harap untuk menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada para pelajar Melayu, yang walau datang daripada keluarga yang bukan doktor, untuk percaya dalam diri dan kejar impian mereka,” ujar Fadzil.

NICOLAS FASIH BAHASA MELAYU, PERANCIS, INGGERIS & PERUBATAN

(Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

Namanya begitu unik bagi seorang anak Melayu. Bureau Nicolas Khairul, 19 tahun mempunyai darah kacukan Melayu dan Perancis. Ayahnya berasal dari Perancis dan ibunya orang Melayu.

Nicolas mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, di samping juga fasih dalam bahasa Perancis dan Inggeris.

Lulusan ACS(I) itu juga ‘fasih’ dalam bahasa perubatan, terutamanya mengenai fungsi organ-organ dalam tubuh. Sejak kecil lagi, beliau sudah mendalami mata pelajaran biologi.

“Saya inginkan tugas yang mana ia tidak rasa seperti tugas kerana saya melakukan apa yang saya suka. Dan saya suka membantu orang.

“Jadi saya pilih perubatan kerana ia menggabungkan dua minat saya (biologi dan membantu orang). Saya mahu berinteraksi lebih dekat dengan pesakit secara ‘firsthand’,” Nicolas memberitahu BERITAMediaCorp.

JOHAN: TUGAS DOKTOR LEBIH ISTIMEWA

(Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

A Johan Saiful Mizra, 19 tahun merupakan lulusan Maktab Rendah Raffles.

Johan sebenarnya berbelah untuk menerima tawaran daripada NUS dalam bidang undang-undang, atau perubatan di LKCMedicine.

“Saya membuat keputusan untuk memilih perubatan kerana ia menawarkan kerjaya yang lebih memuaskan dalam jangka masa panjang.

“Tugas sebagai doktor lebih istimewa kerana terdapat kepercayaan yang unik antara pesakit dan doktor. Doktor yang bagus memainkan peranan istimewa dalam hidup seseorang,” kata Johan.

Anak sulung dalam dua beradik itu berkata, beliau mahu membantu orang ramai, terutamanya masyarakat Melayu/Islam.

“Tumpuan saya sekarang adalah untuk menjadi seorang doktor yang sangat bagus supaya saya boleh menyumbang kepada masyarakat. Itu matlamat saya sekarang.”

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *