Masyarakat Berbilang Kaum, Budaya Berdikari Faktor Kejayaan Negara

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan tiga prinsip asas yang membawa kepada kemakmuran Singapura.

Tiga prinsip itu adalah tekad untuk menjadi masyarakat berbilang kaum, budaya yang berdikari dan sokongan antara satu sama lain serta kepercayaan antara pemerintah dengan rakyat.

Encik Lee menggesa rakyat Singapura supaya memastikan negara ini terus kekal istimewa – dan menjadi “titik merah bersinar”- yang menerangi perjalanan masa depan.

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini, Encik Lee berkata Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini bukan setakat sambutan ulang tahun kemerdekaan. Namun, ia meraikan iltizam negara ini untuk mempertahankan diri sendiri dan bertahan sepanjang lebih 50 tahun.

“Kami bemula hanya dengan dua batalion infantri, di kejiranan yang susah. Namun para perintis kita berazam untuk mempertahankan diri mereka.

“Kami membina SAF (Angkatan Bersenjata Singapura). Dalam masa empat tahun, beberapa unitnya menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan 1969,” ujar Encik Lee, yang turut memberi penghormatan kepada beberapa anggota perkhidmatan perintis yang hadir di rapat umum dan menyertai Perbarisan Vintaj.

Encik Lee berkata SG50 juga meraikan bagaimana Singapura mengubah kelemahannya menjadi satu kekuatan.

Meskipun ekonomi Singapura mulanya lemah, Encik Lee berkata rakan-rakan kerja perikatan tiga pihak, yang terdiri daripada pemerintah, kesatuan kerja dan para majikan, bekerja keras untuk membina tenaga kerja terbaik di dunia.

Singapura juga kian kurang bergantung kepada Malaysia untuk bekalan airnya. “Hampir kesemua bekalan air kita datang dari Johor (ketika itu). Sekali sekala, apabila ada isu-isu dengan Malaysia, ada sahaja ahli politik yang mengugut akan ‘tutup paip’. Tapi kita tidak mati kehausan.

“Kita bersihkan sungai-sungai kita, dan membina empangan untuk menjadikannya kolam air. Kita membina Bendungan Marin, dan mengubah Marina Bay menjadi Kolam Air Marina. Seluruh pulau ini dijadikan kawasan tadahan air. Kita mencipta AirBaru. Dan pada Hari Kebangsaan 2002, kita meraikan kejayaan ini bersama,” kata beliau.

RAIKAN SEBAGAI RAKYAT BERSATU

Encik Lee berkata kepercayaan rakyat Singapura tentang perlunya membina masyarakat berbilang kaum, adalah satu sebab utama di sebalik kejayaan Singapura. Malah, dasar-dasar negara ini juga mempertahankan pendirian ini.

Encik Lee menarik perhatian bahawa sambutan-sambutan SG50 melibatkan semua masyarakat di Singapura, kerana kesemuanya maju bersama negara.

“Dalam satu acara, saya duduk semeja dengan wakil-wakil dari kesemua agama utama di negara ini. Saya memuat naik gambar ini di Facebook. Rabbi Singapura bersama dengan Mufti Negara, dan juga Encik Gurmit Singh, seorang pemimpin Sikh yang mempengerusikan Pertubuhan Antara Agama (IRO). Setiap dari mereka dihidangkan makanan menurut keperluan agama masing-masing, namun ini tidak menghambat mereka daripada makan bersama dan bersahabat antara satu sama lain,” kata Encik Lee.

Namun, beliau memberi amaran bahawa sesetengah orang fikir keharmonian agama dan kaum bukan lagi satu masalah. Katanya, pemikiran ini salah dan menarik perhatian, isu-isu perkauman dan agama kian rumit dan sukar dikendalikan.

Encik Lee menambah sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, Singapura berisiko menghadapi ketegangan, dan rakyat tidak seharusnya mengambil mudah keharmonian yang dinikmati sekarang ini.

SIKAP BERDIKARI, SOKONGAN

Satu lagi faktor bagi kejayaan Singapura ialah budaya berdikari dan sokongan antara satu sama lain di negara ini, kata Encik Lee.

“Semua orang perlu menyumbang dan mempunyai peranan masing-masing. Kita tidak mampu menampung ‘penumpang percuma’ . Itulah sebabnya Encik Lee Kuan Yew kerap kali menggesa kita supaya menjadi masyarakat yang ‘lasak,’ ujarnya.

Namun kata Encik Lee, ini tidak bermakna kita tidak membantu antara satu sama lain, dan semangat ini perlu dipupuk sejak usia muda lagi.

Beliau memberi contoh bencana gempa bumi di Sabah yang mengorbankan tujuh pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong, dua guru, dan seorang malim gunung.

“Kita meratapi pemergian mereka bersama-sama keluarga mereka. Kita juga mengadakan Hari Peringatan Negara. Ia akan mengambil masa yang lama untuk kita menerima tragedi ini. Namun, kehidupan perlu diteruskan,” ujar Encik Lee.

KEPERCAYAAN ITU PENTING

Faktor terakhir bagi kejayaan Singapura ialah kepercayaan antara pemerintah dan rakyatnya.

Pemerintah, kata Encik Lee, menunaikan janji-janjinya dan memastikan politiknya jujur, termasuklah apabila ia perlu membuat pilihan-pilihan sukar.

Pemerintah tidak mengelak hakikat yang sukar diterima, dan sebaliknya, rakyat percaya pemerintah akan menunjukkan prestasi yang baik, dan mengambil kira kepentingan mereka, dan menyokong keputusan-keputusannya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *