Faisal Manap Berusaha Kekalkan Kerusi Bagi Penggal Kedua

MEREKA menyapa beliau dan menyambut mesra risalah yang dihulurkan, malah ada juga penduduk yang sempat berbisik, “jangan khuatir saya sokong anda”.

Gelagat dan reaksi positif sedemikian menguatkan lagi azam Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, 40 tahun, agar terus berkhidmat dan memastikan Parti Pekerja (WP) mencatatkan kemenangan di GRC Aljunied, sekali gus mempertahankan kubu mereka daripada dirampas semula oleh parti pemerintah.

“Kebanyakan penduduk di kawasan undi Kaki Bukit yang membentuk sebahagian daripada GRC Aljunied mendiami flat jenis dua, tiga dan empat bilik.

“Umumnya, mereka warga biasa, pekerja biasa dan kami memahami isu yang dihadapi mereka, baik dari segi tekanan akibat kos kehidupan dan kos perubatan yang semakin meningkat ataupun kebanjiran pekerja asing yang membataskan peluang pekerjaan untuk rakyat. Jadi kami akan terus menyuarakan keprihatinan mereka,” ujarnya yang berusaha mengekalkan kedudukannya bagi penggal kedua.

Kemenangan Encik Muhamad Faisal dalam pilihan raya umum 2011 turut mencatat sejarah tersendiri apabila beliau menjadi calon Melayu pertama daripada parti pembangkang yang memenangi kerusi parlimen.

Dalam usaha mengukuhkan barisan alternatif, parti pembangkang telah menampilkan seramai 16 calon Melayu/Islam dalam pilihan raya umum kali ini, berbanding 13 dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam wawancara itu, Encik Muhamad Faisal turut menekankan pentingnya masyarakat Melayu memberi sokongan kepada barisan alternatif Melayu kerana ia dapat mengukuhkan lagi kesejahteraan masyarakat.

WP sendiri menampilkan tiga karyawan Melayu berkelulusan sarjana – Encik Mohamed Fairoz Shariff, 36 tahun, mantan pegawai Lembaga Perpustakaan Negara; Encik Redzwan Hafidz Abdul Razak, 30 tahun, jurutera; dan Encik Firuz Khan, 48 tahun, pengusaha coklat, ChocolateXcellence, yang berpangkalan di Wales, Britain.

“Kita perlu saling bantu-membantu dan lengkap-melengkapi. Dalam era sekarang, kita tidak boleh mempunyai hanya seseorang atau sesebuah pertubuhan sahaja yang boleh berdiri secara sendiri bagi mencapai satu kebaikan.

“Saya rasa, dasarnya ialah nilai untuk bekerjasama, agar saling lengkap-melengkapi, itu sangat diperlukan terutamanya dalam masa sekarang.

“Kalau kita tengok, maaf kata, selama 50 tahun ini, PAP telah menerajui masyarakat Melayu/Islam Singapura kita tetapi jika kita tengok pada ‘Suara Musyawarah’, di mana ia satu koleksi suara masyarakat Melayu/Islam, menunjukkan lebih banyak lagi yang perlu dilakukan masyarakat,” katanya.

“Sejak lima dekad lalu, PAP masih belum dapat (memenuhi) apa yang diinginkan masyarakat.

“Jadi saya rasa, sudah tiba masanya agar diadakan satu barisan alternatif bagi melengkapi apa yang telah kita ada sekarang,” ujar wakil rakyat itu sebagai mengakhiri perbualan.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *