SETIAP hari, Dr Yaacob Ibrahim bangun sekitar 5.15 pagi.
Biasanya, bapa dua anak itu menyiapkan sarapan bagi keluarganya, menunaikan solat dan menghantar mereka ke stesen MRT.
Sabtu lalu, Berita Harian menjejaki kempen Dr Yaacob, di sekitar GRC Jalan Besar bagi pilihan raya umum ini.
Beliau menemui aktivisnya di Ariff Restaurant, sebuah kedai kopi 24 jam di Kallang Bahru, untuk bersarapan roti perata sekitar 7 pagi.
Antara perkara pertama yang dilakukan ialah membincangkan rancangan serta strategi untuk hari itu.
Sekitar 8 pagi, Dr Yaacob dan aktivisnya tiba di pasar Blok 29 Bendemeer Road menemui pegerai dan penduduk.
Di sana, beliau disertai anggota lain pasukan GRC Jalan Besar – Encik Heng Chee How, Cik Denise Phua dan Dr Lily Neo.
Pada 10 pagi, mereka meneruskan lawatan ke pasar di Sims Place pula.
Di situ, mereka bertembung dan berjabat tangan dengan pasukan pesaing Parti Pekerja (WP), yang bertanding di kawasan itu.
Rata-rata, sambutan penduduk semasa lawatan di kededua pasar itu mesra.
Dari masa ke masa, ada juga penduduk yang meluahkan rasa tidak puas hati atau memberi maklum balas, termasuk seorang penduduk yang rasa kecewa kerana tidak mendapat baucar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Kegiatan berkempen diteruskan dengan lawatan rumah ke rumah di sekurang-kurangnya empat blok di Sims Drive hingga sekitar 12 tengah hari.
Dr Yaacob dan pasukannya bergegas dari rumah ke rumah untuk meminta sokongan penduduk.
“Strategi kami adalah bertemu seramai mungkin penduduk di rumah dalam tempoh berkempen ini,” ujarnya.
Menurutnya, ramai penduduk sudah mengenalinya kerana beliau pernah mengadakan lawatan rumah ke rumah sebelum ini.
“Kempen macam peperiksaan. Kami tidak mampu membuat persiapan saat akhir,” ujar seorang aktivis beliau.
Selepas lawatan itu, Dr Yaacob pulang untuk bersiap menghadiri Majlis Anugerah Muis di Istana yang berlangsung hingga sekitar 4 petang.
Beliau meneruskan kegiatan berkempen pada sebelah petang dan biasanya berakhir sekitar 10 malam.
Source: http://beritaharian.sg