Fairoz Shariff Ingin Lihat ‘Politik Yang Membina’

SAMBUTAN ramai terhadap Parti Pekerja (WP) sejauh ini amat memberangsangkan, kata salah seorang calonnya, Encik Mohamed Fairoz Shariff.

Malah, beliau secara peribadi berharap dapat melihat “politik yang membina” daripada semua parti, dan bukan mengutuk antara satu sama lain.

“Apa kata kita semua sama-sama menumpukan perhatian pada isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat.

“WP merupakan sebuah parti yang rasional, yang percaya dengan politik yang membina.

“Sekiranya ini dapat dicapai, maka kita dapat membina sebuah negara yang makmur sedang negara ini terus maju ke hadapan,” katanya lagi.

Bapa tiga anak berusia tujuh dan lima tahun serta seorang lagi yang baru berusia 10 bulan itu berkata berdasarkan lawatan yang diadakan sejauh ini, beliau sendiri berasa kagum dengan sambutan yang diberikan ramai penduduk setempat terhadap parti tersebut.

Malah baru-baru ini sahaja, beberapa penduduk telah membelikan beliau dan pasukannya minuman semasa mereka sama-sama berkempen di sebuah pasar.

“Kami telah bekerja keras sejak beberapa tahun lalu dengan hasrat mendapatkan maklum balas mengenai keprihatinan mereka.

“Meskipun sambutan menggalakkan, pucuk pangkalnya terpulang kepada para penduduk siapa yang mereka akan pilih pada hari mengundi kelak,” katanya yang berminat membincangkan hal-hal pendidikan dengan golongan dewasa.

Dalam satu lawatan beramah mesra dengan penduduk di Bedok baru-baru ini, Encik Fairoz telah menimbulkan isu pengurusan kerja fleksibel bagi pekerja dalam syarikat yang mempunyai lebih 20 kakitangan.

Beliau berkata skim sedemikian akan membantu warga Singapura menikmati kehidupan bekerja yang harmoni.

“Seorang pekerja yang gembira akan lebih produktif,” katanya seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Straits Times.

Mengenai dirinya sendiri, Encik Fairoz, 36 tahun, yang mempunyai sarjana dalam pengajian Asia Tenggara daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata beliau berharap dapat mempertingkat keyakinan diri tatkala berhadapan dengan khalayak ramai.

“Saya gementar setiap kali berdiri di hadapan ramai, seperti semasa memberi ucapan di rapat pilihan raya baru-baru ini.

“Itu saya sedang atasi.

“Tapi saya yakin lama-kelamaan masalah ini akan dapat diatasi,” jelas mantan pegawai Lembaga Perpustakaan Negara itu lagi.

Dua lagi karyawan Melayu berkelulusan sarjana dalam WP ialah Encik Redzwan Hafidz Abdul Razak, 30 tahun, seorang jurutera; dan Encik Firuz Khan, 48 tahun, pengusaha coklat, ChocolateXcellence, yang berpangkalan di Wales, Britain.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *