Lelaki ‘Dirasuk’ Buat Kacau Dan ‘Bersilat’ Dalam Masjid Al Khair

Seorang lelaki mengganggu ketenteraman Masjid Al Khair apabila dia mula ‘bersilat’ dan memekik-mekik di dewan utama masjid tersebut.

Kejadian ini berlaku kelmarin, iaitu pada hari Selasa (22 September), sebelum jemaah mengerjakan solat Zohor.

Semasa dihubungi BERITAMediaCorp, Pengerusi Masjid Al Khair, Encik Rashid Ramli mengesahkan kejadian ‘rasuk’ itu.

Mujur semasa kejadian, bilangan jemaah di dalam dewan solat masjid itu tidak sesak. Kejadian tersebut sempat dirakamkan jemaah dan video berkenaan mula menjadi viral di laman-laman media sosial semalam.

Video tersebut menunjukkan Imam Eksekutif Masjid Al Khair, Ustaz Fakhrudin Zaki, kelihatan melaungkan azan bagi menenangkan pemuda yang tidak dikenali itu yang turut mengeluarkan kata-kata kesat.

Pada suatu ketika, pemudah yang histeria itu membuka jurus-jurus silat dan membuat akrobatik dengan kakinya hampir menendang dan mengena imam masjid.

Encik Rashid menambah, lelaki itu kelihatan ‘dirasuk’ atau mengalami histeria. Dia kemudian ditangkap dan direbahkan ke lantai oleh sekitar 10 orang jemaah dan kakitangan masjid untuk ditenangkan.

Setelah tenang semula, pemuda tersebut kemudian dibenarkan keluar meninggalkan masjid.

Pengerusi Masjid Al Khair memberitahu BERITAMediaCorp, ia tidak membuat sebarang laporan polis kerana menganggap ini sebagai insiden kecil dan tidak menjejas kegiatan masjid atau jemaah lain.

Masjid tersebut menjelaskan, pemuda tersebut juga bukanlah seorang jemaah yang kerap mengunjungi masjid di kawasan Teck Whye itu.

Encik Rashid Ramli berkata, kejadian kerasukan atau histeria seperti itu bukan yang pertama kali berlaku di Masjid Al Khair.

Sebelum ini berlaku kejadian di mana seorang penuntut ITE perempuan, juga mengalami kejadian rasuk, dedah beliau.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *