Presiden Iran: Negara-Negara Islam Perlu Perbetulkan Imej Islam

TEHRAN: Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata negara-negara Islam perlu berusaha memperbetulkan pandangan dunia terhadap agama Islam.

“Kami mesti menghapuskan pandangan negatif terhadap Islam baik dalam kehidupan harian mahupun ruang siber,” kata beliau di Tehran dalam persidangan antarabangsa bertajuk “Krisis Dunia Islam Sekarang Ini.”

Kebanyakan “keganasan, pengganasan dan pembunuhan beramai-ramai, malangnya, berlaku di dunia Islam,” kata Encik Rouhani.

“Saya mengajak semua negara Islam di rantau ini dan di seluruh dunia – termasuk negara yang hingga sekarang mengebom dan melancarkan peluru berpandu terhadap jiran-jiran mereka – supaya hentikan semua ini dan mengambil jalan yang lurus,” ujarnya.

Namun, Encik Rouhani tidak mendedahkan negara-negara manakah yang dimaksudkannya itu.

Iran, yang berfahaman Syiah, menyokong pemberontak Houthi di Yaman, sementara Arab Saudi yang berfahaman Sunni pula mengetuai perikatan tentera yang melancarkan serangan bom terhadap pemberontak Yaman sejak Mac.

“Berapa banyakkah bom dan peluru berpandu yang sudah anda beli daripada Amerika tahun ini?

“Jika anda bahagi-bahagikan wang untuk bom dan peluru itu kepada orang-orang Islam yang miskin, tiada seorang pun yang perlu tidur dalam keadaan lapar,” katanya.

Tehran juga menyokong rejim Syria, yang tenteranya kini bertempur dengan anggota militan dan pelampau, termasuk kumpulan militan ISIS yang merampas kuasa di sebahagian besar Syria dan Iraq.

“Sesetengah kumpulan seperti Daesh (ISIS) mampu merekrut askar, disebabkan kemiskinan dari segi kewangan dan budaya,” ujar Encik Rouhani.

Kedua-dua jenis kemiskinan itu, katanya, perlu dihapuskan daripada masyarakat Islam.

“Pengganasan tidak akan dihapuskan dengan bom semata-mata. Untuk bertahun-tahun lamanya, kita bercakap tentang perpaduan. Adakah perpaduan boleh dicapai tanpa hubungan ekonomi dalam dunia Islam?” katanya.

Encik Rouhani menambah, konflik di Syria dan Iraq hanya memanfaatkan Israel dan mereka yang menentang orang Islam.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *