Kerjasama Bawa Berkat Buat Pelajar Cemerlang Al-Maarif

Usah mengejar ilmu hanya untuk mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran, jika ilmu tersebut tidak diterapkan dalam kehidupan harian.

Itulah antara nasihat dan penekanan yang diberi ibu bapa pelajar terbaik Madrasah Al-Maarif, Cik Radiah Md Nizam, kepadanya dan masih dipegang erat sebagai pembakar semangat.

Cik Radiah, 19 tahun, muncul sebagai antara pelajar terbaik GCE Peringkat ‘A’ madrasah itu dengan meraih empat gred ‘A’ tahun lalu.

“Ibu bapa saya sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya dan sering menekankan peri pentingnya mendapatkan ilmu.

“Mereka juga selalu ingatkan saya bahawa ilmu itu bukan sekadar meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan, malah kita harus mampu ‘menghidupkan’ ilmu itu dalam kehidupan harian,” kata Cik Radiah.

Beliau telah meraih gred ‘A’ dalam mata pelajaran Undang-undang Islam, Teologi Islam, Bahasa Arab dan Melayu.

“Saya bersyukur dapat meraih keputusan ini dan ia adalah satu cerminan kerja keras yang telah saya lakukan sebelum menduduki peperiksaan ini.

“Dalam pada itu, ia juga berkat usaha padu asatizah di Madrasah Al-Maarif yang tidak berputus asa membimbing kami dalam perjalanan ini,” tambahnya lagi.

Sebagai ketua pengawas Madrasah Al-Maarif, Cik Radiah juga sentiasa memberi sokongan yang sama kepada rakan-rakannya yang menduduki peperiksaan itu.

Turut meraih keputusan empat ‘A’ ialah Cik Nur Diyanah Fatihin, 19 tahun.

Beliau mendapat gred ‘A’ bagi mata pelajaran Undang-undang Islam, Teologi Islam, Bahasa Melayu dan Sastera Melayu.

Anak keempat daripada keluarga lima beradik itu adalah anggota keluarganya yang pertama menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘A’.

Walaupun rasa tertekan mahu membanggakan keluarganya, Cik Diyanah tidak membiarkannya menjadi satu halangan baginya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu.

Beliau turut menyatakan bahawa abangnya sering memberinya kepercayaan membuat yang terbaik dan memasuki universiti.

“Abang saya adalah antara anggota keluarga yang selalu memberi saya sokongan dan kepercayaan agar mencapai yang terbaik dalam peperiksaan ini.

“Beliau turut menaruh harapan agar satu hari nanti saya dapat masuk dan melanjutkan pelajaran saya ke universiti,” kata beliau sambil menguntum senyum.

Seorang lagi pelajar terbaik Madrasah Al-Maarif, Cik Nur Aida Poh Md Aizat Poh, 19 tahun, mendapat dua ‘A’ dan tiga ‘B’.

“Sebelum peperiksaan, kami sentiasa saling bantu membantu dalam mata pelajaran yang kami tidak begitu pasti.

“Kami akan belajar bersama dan berkongsi pengetahuan bersama-sama,” kata Cik Aida.

Seramai 21 pelajar Madrasah Al-Maarif telah menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ tahun lalu dan menurut madrasah itu, kesemua mereka mendapat surat mengundang mereka memohon masuk ke Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti itu.

Ketiga-tiga pelajar itu berharap dapat melanjutkan pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi setempat.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *