Payung Terbesar Dunia Di Masjidil Haram Sedang Dipasang

MAKKAH: Kerja-kerja pemasangan payung lipat paling besar di dunia bermula pada hari Khamis lalu (10 Mac), di halaman bahagian utara Masjidil Haram.

Ia merupakan yang pertama daripada lapan payung gergasi berteknologi tinggi dan 54 payung lebih kecil yang akan dipasang di Masjidil Haram dalam tempoh enam bulan akan datang.

Laman Saudi Gazette yang melaporkan demikian menambah, payung itu dibuat di Jerman, dengan setiap payung dilengkapi jam yang besar, skrin yang memberi panduan kepada para jemaah, alat hawa dingin dan kamera pengawasan.

Setiap payung setinggi 45 meter dan seberat 16 tan.

Ia akan memayungi kawasan seluas 2,400 meter persegi apabila dibuka.

Sekitar 25 jurutera, juruteknik khas dan para pakar keselamatan dari Jerman akan menyelia proses pemasangan dan mekanisme operasi elektronik.

PAYUNGI 400,000 JEMAAH

Lagi 54 payung yang bersaiz lebih kecil juga akan dipasang di halaman bahagian utara, memayungi kawasan seluas 19,200 meter persegi, lapor laman tersebut lagi.

Sebagai sebahagian daripada projek itu, 122 bangku untuk para jemaah berehat serta bangunan khidmat akan dibina.

Kerja-kerja prasarana bagi pemasangan payung-payung itu sudahpun bermula.

Keseluruhan plaza di bahagian utara masjid bermula dari struktur Peluasan Raja Fahd hingga struktur Peluasan Raja Abdullah akan dilengkapi payung-payung tersebut apabila projek berkenaan siap.

Kawasan-kawasan dengan tempat teduh itu akan dapat memuatkan sekitar 400,000 jemaah.

Ketua Presiden bagi Ehwal Dua Masjid Suci menyelia projek itu, dengan kerjasama daripara pakar-pakar dari Kementerian Pendidikan dan syarikat kontrak, yang menjalankan projek peluasan terbesar tapak paling suci Islam.

PAYUNG IDEA ALLAHYARHAM RAJA ABDULLAH

Menurut Saudi Gazette, Raja Abdullah mengarahkan pemasangan payung-payung itu di halaman di sekeliling Masjidil Haram pada bulan Disember 2014, iaitu beberapa hari sebelum pemergiannya.

Ketua Presiden Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, mengumumkan bahawa arahan raja itu dikeluarkan bagi menyediakan tempat berteduh di plaza-plaza luaran, sebagai tambahan kepada kawasan-kawasan yang diluluskan dalam projek Peluasan Raja Abdullah, dengan kawasan tambahan sekitar 275,000 meter persegi.

Lebih 300 payung akan menyediakan tempat berteduh dari matahari untuk para jemaah Masjidil Haram, menurut beliau.

Sebelum ini hampir 250 payung yang serupa sudah dipasang di plaza-plaza di sekitar Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

‘BUNGA-BUNGA’ CANGGIH

Seperti bunga yang mengembang, setiap payung itu direka untuk lipat dan buka mengikut minit-minit yang ditetapkan supaya mengelak daripada berlanggar antara satu dengan yang lain, menurut laporan Saudi Gazette.

Operasinya juga mengikut perubahan suhu harian.

Payung-payung berkenaan dibuka setiap pagi dan ditutup dalam masa kurang tiga minit pada sebelah petang.

Pada musim panas, payung-payung itu menyediakan teduhan daripada panas matahari.

Apabila ditutup pada sebelah malam, ia membolehkan baki haba diserap ke lantai dan tembok untuk disalurkan semula ke atmosfera.

Proses itu berbeza pada musim sejuk, apabila suhu lebih rendah, payung-payung itu tidak dibuka pada sebelah pagi untuk membolehkan matahari memanaskan kawasan tersebut dan dibuka pada sebelah malam untuk mengekalkan haba di bahagian lantai.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *