Pekerja Lapangan Terbang Changi Jujur, Pulangkan $10,000

TUGAS beliau sebagai pegawai perkhidmatan troli di Lapangan Terbang Changi memerlukan Encik Wahid Said mengumpul dan meletakan semula troli bagasi ke tempat asal setelah digunakan penumpang.

Jarang sekali perkara luar biasa yang berlaku dalam beliau menjalankan tugas sehari-hari.

Namun, sedang beliau melakukan kerjanya pada suatu hari Januari tahun lalu, Encik Wahid, 71 tahun, terkejut melihat sebuah dompet di atas sebuah troli di luar ruang ketibaan di Terminal 1.

“Saya terkejut, gementar pun ada,” katanya.

Tanpa berlengah, beliau langsung bergegas ke Jabatan Lost and Found atau Hilang dan Tuntut semula.

Perasaan gementar Encik Wahid itu semakin bertambah apabila menyedari dompet itu mengandung wang tunai AUS$10,000 ($10,300).

Atas kejujurannya itu, Encik Wahid, yang telah bekerja selama dua tahun di Lapangan Terbang Changi, menerima Anugerah Kakitangan Jagaan Cemerlang (Emas).

Anugerah tersebut lazimnya diberikan kepada kakitangan lebih mapan, namun Encik Wahid, datuk seorang cucu itu, menerimanya atas kejujuran beliau selain sikap kerjanya yang baik.

Beliau antara 18 individu yang menerima anugerah dalam satu majlis baru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri Menteri Pengangkutan Encik Khaw Boon Wan.

Menurut Encik Wahid, beliau begitu gembira apabila diberitahu bahawa dompet itu dapat dikembalikan kepada pemiliknya, seorang warga Australia.

Warga Australia itu telah mengirimkan e-mel kepada Lapangan Terbang Changi meminta mereka menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada Encik Wahid.

“Itu bukan barang saya dan memang salah jika saya mengambilnya. Saya memahami keadaan penumpang di sini yang kadangkala kelam kabut ataupun terlalu penat selepas menaiki penerbangan yang berjam-jam lamanya dan disebabkan itu, mereka jadi cuai,” ujar Encik Wahid.

Ditanya mengenai cabaran pekerjaan yang beliau lakukan, Encik Wahid berkata ia tidak semudah yang dianggap ramai.

Menurutnya, beliau harus mengumpul dan menolak troli yang berat dengan cepat bagi memenuhi keperluan penumpang di antara lapangan terbang paling sibuk di dunia itu.

“Dengan usia saya yang lanjut, kadangkala mencabar juga.

“Tapi saya tidak keberatan bertugas sebagai seorang pegawai khidmat troli dan berasa gembira dan bangga kerana masih boleh berkhidmat dan menyumbang.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *